Krisis Laut China Selatan: Malaysia cuba santuni AS, China

Temubual bersama Saifuddin oleh Tan Sri Johan Jaaffar dalam program 'Bersama Saifuddin' yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.
Temubual bersama Saifuddin oleh Tan Sri Johan Jaaffar dalam program 'Bersama Saifuddin' yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia mengambil sikap berkecuali dalam krisis Laut Cina Selatan membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan Cina.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, bagaimanapun Malaysia cuba menyantuni kedua-dua negara berkenaan, malah cuba membantu menyelesaikannya dengan sebaik mungkin.

“Ada dua perkara yang harus menjadi perkiraan kita. Yang pertama, kita ini negara yang mengamalkan dasar berkecuali. Kita selalunya negara yang neutral.

"Kedua, bergantung kepada kekerapan sesuatu kuasa besar itu menerjah kawasan kita. Namun demikian kekerapan menerjah itu juga relatif sama ada ia menunjukkan kuasa untuk menguasai ataupun menunjukkan kuasa keberadaannya.

“Jadi, sukar untuk menyatakan siapa yang berbahaya. Tetapi kita santuni dan perhatikan sebaik mungkin,” katanya pada program Bersama Saifuddin yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam program bual bicara yang berlangsung kira-kira sejam berhubung negara manakah yang lebih berbahaya sama ada AS ataupun Cina.

Dalam konteks kestabilan rantau ASEAN pula, Saifuddin berkata, terdapat tiga faktor utama walaupun beliau menyatakan kerisauan dan kegusaran Malaysia terhadap Australia.

Ini kerana, beliau berkata, Malaysia masih lagi mempunyai perjanjian pertahanan antara Australia dan New Zealand.

Artikel Berkaitan:

“Ada waktunya kita mengadakan latihan bersama termasuk dengan kapal-kapal perang mereka. Saya fikir dalam hal ini tentu kita akan kecualikan kapal selam mereka itu.

“Keduanya, dari segi undang-undang antarabangsa iaitu undang-undang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tentang lautan antarabangsa. Mereka boleh lalu berhampiran perairan kita asalkan mereka tidak masuk ke dalam perairan kita.

“Ketiga, kalau mereka (Australia) hadir ke sini, saya yakin AS tentunya akan menghantar anggotanya juga. Kita tak mahu ini berlaku kerana ia boleh mengundang istilah ketenteraan (militarization).

“Bukan bermakna ada engagement tetapi kawasan kita ini akan menjadi kawasan yang banyak dengan kapal-kapal perang lalu sedangkan kita mahu kawasan ini biarlah banyak kapal-kapal perdagangan,” katanya.