Pelajar mohon bantuan kaki palsu

Nurul Hasrina yang kudung kaki kanan akibat kemalangan pada 2016 bersama ibunya, Zakiah Waly Mohamad, 57.
Nurul Hasrina yang kudung kaki kanan akibat kemalangan pada 2016 bersama ibunya, Zakiah Waly Mohamad, 57.
A
A
A

KUANTAN- Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya besar memerlukan sumbangan orang ramai bagi mendapatkan kaki palsu baharu bagi memudahkan pergerakannya.

Nurul Hasrina Adnan, 18, kini tanpa kaki kanan selepas terbabit dalam kemalangan pada 2016 berkata, ini bagi membolehkan dirinya bergerak sewaktu berada di sekolah dengan lebih selesa.

Menurutnya, sebelum ini dia sudah memiliki kaki palsu dengan harga RM13,000, tetapi tidak sesuai sehingga menyebabkan pangkal pehanya melecet dan berdarah.

“Kaki palsu ini ayah (Adnan Saari, 57) yang beli..masih ada hutang lagi dengan syarikat yang buat kaki ini kira-kira RM3,000. Ia masih lagi elok (kaki palsu) tapi sayang saya tidak boleh pakai.

“Saya pernah cuba pakai tapi kaki saya tetiba melecet dan berdarah. Bila sudah tidak boleh pakai.. saya gantikan ia dengan tongkat.

“Sehingga sekarang saya guna tongkat untuk lakukan aktiviti harian. Bahu saya pun rasa sakit akibat selalu menggunakan tongkat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Mahkota di sini.

Mengimbas kembali tragedi yang menimpanya, Nurul Hasrina berkata, sakit pada bahagian peha kanan yang dipotong masih terasa walaupun sudah tiga tahun kemalangan tersebut menimpa dirinya.

Nurul Hasrina yang kudung kaki kanan akibat kemalangan pada 2016 bersama ibunya, Zakiah Waly Mohamad, 57, ke sekolah menggunakan tongkat.
Nurul Hasrina yang kudung kaki kanan akibat kemalangan pada 2016 bersama ibunya, Zakiah Waly Mohamad, 57, ke sekolah menggunakan tongkat.



Jelasnya, sudah menjalani 11 kali dia pembedahan di bahagian terbabit, namun sakit itu tetap ada.

“Pemeriksaan dan rawatan susulan, termasuk kaunseling juga dilakukan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anak bongsu dari enam beradik itu katanya, walaupun banyak ketinggalan dalam pelajaran akibat tidak hadir ke sekolah sejak 2016, dia tetap berazam mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Sebelum ini cita-cita saya untuk menjadi anggota badan beruniform, tapi dalam keadaan sebegini saya terpaksa dilupakan impian itu.

“Tetapi saya akan berusaha membuktikan episod hitam ini bukan penghalang untuk mencatat kecemerlangan dalam pelajaran seperti insan normal lain," katanya.

Dalam kejadian 20 September 2016, Nurul Hasrina yang membonceng motosikal Honda EX5 bersama rakannya terbabit kemalangan dengan sebuah lori tanah menyebabkan kaki kanannya terpaksa dipotong.

Kemalangan yang berlaku di Taman Seri Mahkota, di sini, menyebabkan kakinya digilis tayar lori dan mengalami kecederaan yang serius hingga memaksa doktor di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), mengambil keputusan memotong kaki bagi menyelamatkan nyawanya.

Jangkitan kuman, luka serius dan tempurung lutut pecah menyebabkan doktor terpaksa mengambil keputusan memotong kakinya hingga paras peha.