X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Dewan Rakyat kecoh, Azmin 'diserang' wakil rakyat DAP

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
A
A

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat bagi sesi pagi pada Selasa sedikit kecoh apabila Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ‘diserang’ oleh wakil rakyat DAP gara-gara dakwaan menghalang Nga Kor Ming (DAP-Teluk Intan) menjadi Speaker undangan pada Isnin.

Kekecohan itu berlaku ketika Azmin mahu menjawab bagi sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan.

Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka) dilihat bangkit mempersoalkan tindakan seorang menteri kanan yang didakwa telah masuk campur dan salah guna kuasa menyekat Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun daripada mengundang Kor Ming sebagai Speaker jemputan.

"Saya minta penjelasan siapakah menteri kanan yang telah masuk campur, salah guna kuasa. Ada seorang menteri kanan telah sekat Speaker mengundang Teluk Intan sebagai Speaker semalam (Isnin)?

"Saya nak tahu adakah menteri kanan tersebut ada dalam dewan pagi ini? Hari ini saya lihat ada dua menteri kanan di sini, adakah mereka salah seorang daripada mereka ada di sini? Sebagai ahli Parlimen kita ada hak untuk tahu," katanya.

Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) turut bangkit mencabar Azmin untuk mengakui dakwaan tersebut.

"Saya mencabar Ahli Parlimen Gombak adakah beliau menteri kanan tersebut? Berdiri dan jawab soalan itu sekarang,” katanya.

Azmin memberi reaksi balas seakan mahu menyahut cabaran berkenaan.

"Saya berani (berdiri) kerana ini sesi soal jawab,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon tidak membenarkan perkara itu kerana akan mengganggu sesi soal jawab.

Pada Isnin, sebuah akhbar Cina melaporkan Nga Kor Ming telah diundang secara bertulis oleh Azhar untuk mempengerusikan sidang itu pada sebelah petang Isnin, namun mendakwa seorang ‘menteri kanan kabinet’ bertindak menghalangnya daripada ia berlaku.

Laporan itu mendakwa keputusan berkenaan ditarik balik kerana wujud ‘tekanan’ daripada ‘menteri kanan kabinet’ tersebut yang menghubungi Speaker pada jam 1.50 petang Isnin.

Azhar kemudiannya mempengerusikan sidang Dewan Rakyat yang bermula pada jam 2.30 petang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!