'Pertimbang semula pemberian geran kepada TAR UC, UTAR'

Chew Mei Fun
Chew Mei Fun
A
A
A


KUALA LUMPUR - MCA menyeru kepada kerajaan supaya mempertimbangkan semula pemberian geran kepada Kolej Universiti Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) seperti yang dilakukan kerajaan terdahulu.

Setiausaha agung MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata ini penting untuk membantu pelajar miskin atau kurang berkemampuan meneruskan pendidikan di dua institusi itu.

Mei Fun juga berkata syarat yang dikenakan Menteri Kewangan iaitu supaya dua institusi pendidikan tinggi swasta itu dipisahkan daripada parti politik itu untuk mendapat geran itu juga adalah tidak munasabah.

"MCA dan kedua-dua institusi itu adalah seperti 'ibu dan anak' yang tidak dapat dipisahkan selepas penubuhannya sehingga mendapat status universiti kolej pada tahun 2013.

'Pemberian peruntukkan ini sepatutnya diberi sama rata seperti mana institusi-institusi lain yang telah diumumkan akan mendapat geran kerajaan itu untuk berlaku adil kepada semua pihak," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan (AGM) Wanita MCA ke-43 di Wisma MCA di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie. Geran itu penting kerana kedua-dua institusi itu bergantung kepada peruntukan yang diberikan kepada mereka setiap tahun oleh kerajaan berjumlah antara RM30 juta dan RM60 juta untuk turut menampung kos operasi.

Pada masa yang sama, beliau juga mencadangkan satu akta diwujudkan supaya semua instituti-institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh masyarakat Cina yang tidak berorientasikan keuntungan mendapat peruntukan daripada kerajaan.

Seramai 1,040 perwakilan hadir di AGM itu yang bermula semalam dan yang pertama kali diadakan selepas pemilihan MCA pada awal November.
Artikel Berkaitan:


Dalam Pemilihan Wanita, daripada 31 jawatan dipertandingkan bagi sayap Wanita termasuk ketua, timbalan ketua, empat naib ketua, 25 ahli jawatankuasa pusat pergerakan itu menang tanpa bertanding, sekaligus menyaksikan Heng sekali lagi mempertahankan jawatan Ketua Wanita MCA. - Bernama