Ubah polisi kuota import

Ifedayo muncul penjaring terbanyak Liga Super dua musim berturut-turut.- FOTO: FB SELANGOR FC, gambar kecil: MOHD AZRAAI
Ifedayo muncul penjaring terbanyak Liga Super dua musim berturut-turut.- FOTO: FB SELANGOR FC, gambar kecil: MOHD AZRAAI
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) diminta mengambil pendekatan segera untuk menyelamatkan karier penyerang tempatan daripada terus ‘tenggelam’ di sebalik sentuhan berbisa pemain import.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, MFL boleh mengambil beberapa pendekatan termasuk mengehadkan pengambilan bilangan pemain import.

“Kalau kita tengok penjaring terbanyak liga musim ini, daripada kelompok 10 terbaik itu, hanya ada (kapten Kedah Darul Aman FC) Baddrol Bakhtiar tetapi dia bukan penyerang tulen.

“Maknanya, tak ada seorang pun penyerang tempatan. Mungkin hanya kebetulan polisi (pengambilan) lima import itu yang menjadi puncanya. Kalau dulu tiga import sahaja.

“Ada setengah pasukan ketika itu, mereka hanya ada seorang pertahanan, seorang pemain tengah dan seorang penyerang import. Jadi, masih ada ruang penyerang tempatan digandingkan dengan penyerang import.

“Tetapi apabila dah lima pemain import, sudah tentu seboleh-bolehnya pasukan berkenaan akan letak penyerang import,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Bisa penyerang import dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) sememangnya sukar untuk disangkal apabila mereka terus mendominasi carta penjaring terbanyak Liga Super sejak edisi 2012.

Malah, musim ini, penyerang Selangor FC, Ifedayo Olusegun telah memecahkan rekod penjaring terbanyak Liga Super dengan 26 gol mengatasi bekas pemain Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohamad Ghaddar dengan 23 gol pada 2017.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali mengharapkan MFL dapat mencari mekanisme terbaik bagi mengatasi masalah kurangnya peluang beraksi kepada penyerang tempatan.

“Kita faham ada kelab dah diswastakan dan ada sponsor. Sudah tentu mereka mahukan kejayaan. Sebab itu MFL perlu tengok perkara ini dengan teliti dan mengubah sedikit polisi pengambilan pemain import,” ujar Mohd Azraai.

Sambil menegaskan penyerang tempatan tidak malas untuk cuba bersaing dan merebut tempat dalam pasukan, beliau memberitahu, kebanyakan daripada mereka tidak diberikan peluang sehingga diketepikan.

“Nak tingkatkan prestasi macam mana kalau penyerang tempatan tidak diberikan ruang. Kalau masa perlawanan sebenar, sudah tentu coach akan gunakan pemain import yang ada.

“Melainkan kalau pemain import itu cedera, barulah pemain tempatan diberi peluang. Kalau tidak ada tindakan sekarang, penyerang import akan terus bermaharajalela dan pemain tempatan terus gagal menyinar,” jelasnya.