Saudara enggan buka pintu, gelandangan bakar pakaian jiran

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Berang kerana adik saudaranya enggan membuka pintu rumah, seorang gelandangan bertindak membakar pakaian milik jiran di Blok H, Flat Sri Perantau di sini sekitar jam 1.30 petang pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pengadu yang merupakan seorang suri rumah berusia 69 tahun itu terhidu bau asap datang daripada bahagian hadapan rumahnya lalu membuat laporan.

"Pengadu menyedari ada bau asap daripada luar rumah dan mendapati seorang lelaki yang dikenali sedang memegang baju miliknya yang dijemur di hadapan rumah dalam keadaan terbakar.

"Sebelum ini pengadu juga telah melihat lelaki sama membakar pinggan, mangkuk dan penyapu yang berada di hadapan rumah," katanya dalam kenyataan pada Khamis

Menurutnya, suspek berjaya ditahan sekitar jam 4.30 petang pada hari sama di sebuah taman permainan berhampiran Blok J di kawasan flat terbabit.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut," katanya

Shamsul Amar berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah dan jenayah.

"Rekod lampau suspek membabitkan Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 380 Kanun Keseksaan Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya.

Artikel Berkaitan:

"Ujian saringan air kencing masih belum dijalankan dan kami tidak menolak kemungkinan bahawa suspek mempunyai masalah gangguan mental," ujarnya.

Sehubungan itu, suspek direman selama lima hari bermula Khamis di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.