Program WEP beri peluang peniagaan pada wanita di R&R

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kanan) yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melancarkan Bazar Keusahawanan Wanita PLUS di kawasan Rehat dan Rawat Dengkil (Arah Selatan) hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kanan) yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melancarkan Bazar Keusahawanan Wanita PLUS di kawasan Rehat dan Rawat Dengkil (Arah Selatan) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

DENGKIL - Pengendali lebuh raya, PLUS Malaysia Bhd memperkenalkan inisiatif Program Keusahawanan Wanita (WEP) yang memberi peluang kepada golongan wanita yang menetap di sekitar lebuh raya kendaliannya peluang perniagaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika merasmikan WEP PLUS itu di kawasan R&R Dengkil di sini hari ini berkata program itu memberi manfaat kepada wanita terutamanya ibu tunggal yang tinggal berhampiran kawasan lebuh raya bagi menceburi bidang keusahawanan.

Usaha PLUS itu, katanya membuktikan pihak swasta juga boleh memainkan peranan mereka memajukan masyarakat dalam apa yang dinamakan sebagai menyumbang semula kepada masyarakat.

Menurut Dr Wan Azizah, PLUS telah memberi peluang kepada 201 usahawan wanita yang mewakili 46 peratus daripada keseluruhan peniaga di 33 kawasan R&R dengan tujuh peratus daripadanya adalah ibu tunggal.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menggesa pihak swasta membantu kerajaan dalam usaha meningkatkan penyertaan usahawan wanita dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"PKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia, dengan kira-kira 99 peratus perniagaan dalam kategori PKS. Daripada jumlah tersebut, sekitar 20 peratus perniagaan dimiliki, dikendalikan atau dikelolakan oleh wanita,” katanya.

PLUS dalam kenyataannya berkata sebanyak RM5 juta diperuntukkan dalam tempoh lima tahun bagi melaksanakan WEP merangkumi latihan, bimbingan mentor dan bantuan perniagaan kepada usahawan wanita.

Pengerusinya Tan Sri Datuk Mohd Sheriff Mohd Kassim dalam kenyataan itu berkata sasaran utama program adalah wanita yang tinggal di dalam lingkungan 30 kilometer dari lebuh raya seperti ibu tunggal, golongan berpendapatan rendah B40 dan mereka yang berumur antara 23 dan 36 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi WEP ini, PLUS menyasarkan sebanyak 20 usahawan wanita baharu setahun dan dalam jangka masa lima tahun, seramai 100 usahawan wanita baharu akan dilahirkan," katanya.

Mohd Sheriff berkata pendaftaran WEP akan dibuka pada 15 April ini dan pengambilan pertama akan bermula pada Ogos 2019. - Bernama