[VIDEO] Petugas PPV pakai busana tradisional semarakkan Hari Malaysia

Petugas dan kakitangan PPV Studio Iskandar, Iskandar Puteri meraikan Hari Malaysia dengan penuh bermakna pada Khamis.
Petugas dan kakitangan PPV Studio Iskandar, Iskandar Puteri meraikan Hari Malaysia dengan penuh bermakna pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Hari Malaysia yang disambut Khamis diraikan dengan penuh bermakna oleh petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Studio Iskandar Malaysia di sini.

Seawal jam 8 pagi, kira-kira 100 petugas dan kakitangan di PPV meraikan Hari Malaysia dengan menyanyikan lagu patriotik seperti 'Saya Anak Malaysia' dan menari tarian tradisional.

Tidak ketinggalan, petugas dan kakitangan turut mengenakan busana tradisonal seperti baju Melayu dan baju kurung.

Penyelaras HCO PPV, Dr Kamal Amzan berkata, sempena menyambut Hari Malaysia, suasana di PPV Studio Iskandar Malaysia meriah apabila petugas dan kakitangan tampil kreatif mengenakan pakaian tradisional dan mengedarkan 1,500 Jalur Gemilang kepada orang ramai.

Petugas PPV Studio Iskandar Malaysia di Iskandar Puteri menari tarian tradisional sempena Hari Malaysia pada Khamis.
Petugas PPV Studio Iskandar Malaysia di Iskandar Puteri menari tarian tradisional sempena Hari Malaysia pada Khamis.

"Meskipun terpaksa bertugas tidak mengira waktu cuti tetapi ia tidak sedikit pun melunturkan semangat patriotisme dalam kalangan petugas PPV di sini.

Artikel Berkaitan:

"Kami merasa bangga kerana dapat bertugas pada Hari Malaysia seterusnya, membantu mempercepatkan imuniti kelompok di Johor. Ia juga sebagai satu tanggungjawab kami kepada negara," katanya ketika ditemui PPV Studio Iskandar Malaysia di sini pada Khamis.

Sementara itu, sukerelawan PPV, Yana Anak Balun, 31 melahirkan rasa bangga kerana dapat menjadi sebahagian petugas barisan hadapan dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ( PICK) di Johor.

Yana dan Emily mengenakan busana tradisonal etnik Sarawak di PPV Studio Iskandar Malaysia di Iskandar Puteri pada Khamis.
Yana dan Emily mengenakan busana tradisonal etnik Sarawak di PPV Studio Iskandar Malaysia di Iskandar Puteri pada Khamis.

Dia juga gembira kerana dapat mengenakan busana tradisional etnik Sarawak yang dimilikinya ketika menjalankan tugas pada Hari Malaysia.

"Saya bangga kerana dapat memakai baju tradisional entik Sarawak di Johor. Baju ini merupakan koleksi peribadi saya dan ia cukup istimewa kerana dapat dipakai pada Hari Malaysia," katanya.

Seorang lagi sukarelawan, Emily Entingie, 31, pula teruja dapat mengenakan busana tradisional etnik Sarawak yang dapat mengubat kerinduannya pada kampung halaman di Sarikei.

"Hari Malaysia di PPV ini cukup meriah yang mana rakan-rakan di sini turut mengenakan busana tradisional mereka. Suasana cukup berbeza seperti hari-hari biasa.

"Malah, orang ramai yang datang untuk menerima suntikan vaksin turut gembira melihat kami berbusana tradisional pada Hari Malaysia," katanya.