Laporta minta penyokong Barca bersabar

Kekalahan terbaharu Barcelona kepada Bayern Munich menambah tekanan kepada Laporta. FOTO: AFP
Kekalahan terbaharu Barcelona kepada Bayern Munich menambah tekanan kepada Laporta. FOTO: AFP
A
A
A

PRESIDEN Barcelona, Joan Laporta meminta penyokong-penyokong Blaugrana untuk bersabar berikutan kekalahan 0-3 kepada Bayern Munich dalam perlawanan peringkat kumpulan E saingan Liga Juara-Juara di Camp Nou pada Rabu.

Malah menurut Laporta, prestasi semasa gergasi La Liga itu sememangnya telah diduga berikutan permulaan hambar dalam saingan domestik sebelum ini.

“Saya juga kecewa sama seperti anda semua dengan prestasi semasa Barcelona, namun situasi ini telah pun dijangka, cumanya saya meminta dalam kalangan penyokong Barca untuk bersabar dan terus menyokong kelab ini.

“Saya juga minta anda semua berikan kepercayaan kepada kami, orang yang dipertanggungjawabkan menguruskan kelab ini. Kami memerlukan kepercayaan dan masa anda serta tanpa ragu-ragu bahawa kami akan menyelesaikan situasi ini,” ujar Laporta di akaun media sosialnya.

Laporta sebelum ini dipilih sebagai presiden untuk kali kedua pada Mac lalu selepas meraih majoriti selepas Josep Maria Bartomeu meletak jawatan tahun lalu bagi mengelak undi tidak percaya dalam kalangan ahli kelab tersebut.

Begitupun Laporta berdepan tugas getir mengembalikan semula imej kelab apabila sekadar meraih kedudukan ketiga La Liga, selain terpaksa melepaskan Lionel Messi ke Paris St Germain secara percuma walaupun memberi jaminan kapten Argentina itu akan kekal di Camp Nou.

Namun kekalahan terbaharu kepada Bayern Munich menambah lagi tekanan buat Laporta ditambah persembahan turun naik dalam saingan liga yang menyaksikan Barca kini berada di kedudukan ketujuh liga dengan tujuh mata selepas mengharungi tiga perlawanan.

Artikel Berkaitan: