Permohonan pengasas Rumah Bonda jaga 5 anak angkat, 28 Oktober ini

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 29, hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi prosiding sebutan semula kes pada Selasa. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 29, hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi prosiding sebutan semula kes pada Selasa. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Permohonan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk mendapatkan hak penjagaan penuh terhadap lima anak angkatnya, akan didengar di Mahkamah Majistret di sini pada 28 Oktober depan.

Peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun berkata, kanak-kanak itu kini berada di bawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pada tarikh itu kelak, beliau berkata, mahkamah akan menentukan siapa yang layak untuk menjaga kanak-kanak tersebut.

Dalam prosiding, Nur A’minahtul Mardiah berkata, mahkamah mendengar permohonan anak guamnya untuk mengetepikan perintah hak penjagaan sementara.

"Namun mahkamah menolak permohonan itu dengan mengatakan bahwa perintah jagaan sementara yang diberi kepada JKM telah mengikut prosedur undang-undang.

“Maka pada 28 Oktober depan, kami akan berjuang dan mahkamah bakal menentukan siapa yang layak untuk jaga kanak-kanak itu,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding sebutan semula kes di hadapan Majistret Norfarahain Roslan pada Selasa.

Sementara itu, peguam, Muhammad Hafiz Hood berkata, tiga daripada lima keluarga kanak-kanak tersebut telah membuat permohonan untuk membatalkan afidavit bagi menyokong permohonan hak penjagaan sementara yang difailkan sebelum ini.

Muhammad Hafiz yang mewakili salah satu daripada tiga keluarga kanak-kanak itu berkata, pendengaran bagi kes pembatalan afidavit yang telah difailkan itu akan didengar pada 2 November ini.

Artikel Berkaitan:

Pada 2 Ogos lalu, Siti Bainun, 29 dan lima ibu kandung kepada anak angkatnya, memfailkan notis permohonan hak penjagaan sementara melalui Tetuan Chambers of Aminatul Mardiah di Mahkamah Kanak-Kanak di sini.

Mereka menamakan agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Permohonan tersebut juga adalah bagi pembatalan perintah interim yang diberi kepada JKM tanpa mematuhi keperluan di bawah Seksyen 30 (10) Akta Kanak-Kanak 2001 di mana penjaga yang sah tidak diberikan peluang hadir dan berhujah semasa perintah interim diberikan.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh sebelum ini, antara permohonan itu ialah perintah pembatalan jagaan sementara lima anak angkat Siti Bainun yang sekarang diberikan kepada dua rumah kebajikan.

Selain itu, permohonan tersebut turut menyatakan ia adalah permintaan daripada keluarga kandung lima kanak-kanak itu yang mana mereka mahu jagaan diberikan kepada pihak pemohon.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas Rumah Bonda mohon dapatkan semula hak jagaan 5 anak angkat