'Geng Katik' masuk jerat polis

Mohd Zani (kiri) menunjukkan antara peralatan yang dirampas.
Mohd Zani (kiri) menunjukkan antara peralatan yang dirampas.
A
A
A

PETALING JAYA - 'Geng Katik' yang dipercayai aktif melakukan jenayah samun tepi jalan, ragut, curi motosikal dan pecah rumah akhirnya lumpuh selepas dicekup polis di Damansara Damai, di sini.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, kira-kira jam 8 pagi, Khamis lalu, serbuan pertama di parkir motosikal Apartmen Idaman, dua lelaki berjaya diberkas polis Bahagian Risikan Jenayah D4 IPD Petaling Jaya.

"Soal siasat suspek ini kemudian membawa tangkapan seorang lagi suspek di apartmen terbabit.

"Kira-kira jam 4 petang, dua lagi suspek juga berjaya diberkas dalam serbuan berasingan di sekitar Desa Riang, Damansara Damai," katanya dalam sidang media, di Balai Polis Sungai Way, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati kesemua suspek berusia lingkungan 22 hingga 35 tahun ini memiliki rekod jenayah selain terbabit dengan penyalahgunaan dadah jenis syabu.

Antara barang yang dirampas.
Antara barang yang dirampas.

Tambah Mohd Zani, geng ini dipercayai telah aktif sejak Januari lalu di sekitar Sri Damansara dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Pelbagai barang telah kita rampas antaranya komputer riba, telefon bimbit, jam tangan, barang kemas, pisau dan komponen motosikal yang kesemuanya dianggar bernilai RM70,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, polis sedang giat mengesan seorang individu dikenali Mohd Shafiq Mohd Shah atau Syafiq Bangla berusia 27 tahun bagi membantu siasatan berhubung kegiatan jenayah terbabit.

Dalam kes berlainan, polis turut mencari seorang lelaki dikenali Ng Mun Kiet atau Ah Kita, 42, bagi membantu siasatan kes pecah rumah di kawasan Empire City, Damansara, di sini.

"Sebelum ini, polis telah memberkas dua suspek berusia 42 dan 48 tahun, Sabtu lalu di Empire City.

"Tangkapan kira-kira jam 8 malam itu mendapati masing-masing memiliki 23 serta empat rekod jenayah. Pelbagai barang kes telah dirampas antaranya jam tangan, kamera, telefon bimbit dan peralatan pecah rumah," katanya.