Perluas masjid sebagai pusat transit mangsa keganasan domestik

Idris (kanan) menziarahi rumah penerima sumbangan ketika Program Inspirasi Kasih YaPEIM di Kampung Sungai Petai di sini pada Sabtu.
Idris (kanan) menziarahi rumah penerima sumbangan ketika Program Inspirasi Kasih YaPEIM di Kampung Sungai Petai di sini pada Sabtu.
A
A
A

BUKIT GANTANG - Kerajaan berhasrat memperluaskan inisiatif menjadikan masjid sebagai pusat transit untuk mangsa keganasan domestik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama negeri mengenai hasrat tersebut.

Menurutnya, hal ehwal berkaitan agama Islam merupakan bidang kuasa kerajaan negeri dan diraja pemerintah.

"Memang di Wilayah Persekutuan sudah ada (masjid dijadikan transit mangsa keganasan domestik). Kita boleh mencadangkan dilaksana di negeri-negeri lain tetapi hal ehwal agama ini ada pihak berkuasa yang menjaganya.

"Kita akan bincang, bagi cadangan dan pandangan tetapi hendak melaksanakan itu pihak kerajaan negeri perlu berbincang dengan pihak berkuasa agama kerana masjid ini di bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan," katanya kepada pemberita selepas Program Inspirasi Kasih Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Sungai Petai di sini pada Sabtu.

Idris berkata, masjid seharusnya menjadi pusat sehenti bukan sahaja sebagai tempat solat semata-mata tetapi sebagai pusat perniagaan dan sebagainya.

Menurutnya, ketika zaman kegemilangan Islam terdahulu, masjid merupakan pusat pembinaan tamadun dalam sesebuah negara.

Pada Mei lalu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggerakkan inisiatif menjadikan masjid sebagai pusat transit untuk mangsa keganasan domestik.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif itu dilaksanakan di bawah Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024, bertujuan memperluas fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai kemudahan, meliputi keperluan psikososial dan kerohanian untuk semua lapisan masyarakat.

Sebagai permulaan, dua masjid dipilih sebagai perintis iaitu Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Al-Ghufran Pinggiran Taman Tun Dr Ismail.