Menteri KBS perlu fokus peluang kerja untuk belia

Aswannudin Hariffudin
Aswannudin Hariffudin
A
A
A

IPOH - Majlis Belia Negeri (MBN) Perak menyarankan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah kepimpinan baharu memberi fokus kepada peluang pekerjaan kepada golongan belia menjelang fasa endemik Covid-19.

Presidennya, Aswannudin Hariffudin berkata, kadar pengangguran di dalam negara kian meningkat ketika ini dan golongan belia antara yang paling terkesan dalam mencari pekerjaan.

Sehubungan itu, pihaknya berharap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dapat menyemak serta menilai semula dasar berkaitan belia untuk disesuaikan dengan keadaan semasa negara berdepan krisis ekonomi dan kesihatan yang serius akibat virus berkenaan.

"Penilaian semula dasar ini bertujuan membolehkan golongan belia diberikan latihan dan mempertingkatkan kemahiran dalam bidang-bidang mapan serta kerjaya yang mempunyai masa depan.

"Dalam pada itu, pihak berwajib juga perlu mengkaji semula bentuk kerjasama sektor awam dan swasta untuk memastikan pekerja khususnya dalam kalangan generasi baharu dibayar gaji setanding kos sara hidup," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, Aswannudin berkata, MBN Perak turut mencadangkan agar lebih banyak dana perniagaan diwujudkan bagi menggalakkan generasi baharu mencipta pekerjaan sendiri.

Selain itu katanya, Dasar Perumahan Belia untuk generasi muda juga harus diperkasa agar ia benar-benar bersifat mampu milik, mencukupi dan berkualiti mengikut keperluan semasa.

Beliau turut menegaskan kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan perlu mempunyai dasar yang lebih berkesan dalam menyantuni masalah sosial dalam kalangan belia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pelbagai masalah sosial yang melanda negara ketika ini seperti penyalahgunaan bahan terlarang, vandalisme, keganasan, jenayah, seks luar nikah, pengguguran kandungan, pembuangan bayi, gangsterisme, buli siber dan sebagainya dilihat mencetuskan kejutan moral terutama dalam kalangan remaja.