Kekal warta HSKLU bukti kerajaan Selangor dengar suara semua

Elizabeth
Elizabeth
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan Selangor untuk mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) menunjukkan kesediaan dan keberanian pentadbiran kerajaan negeri mendengar suara semua pihak.

Pengerusi Majlis Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor, Elizabeth Wong berkata, kerajaan negeri bersikap terbuka dan mendengar pandangan suara pemimpin, badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, wakil rakyat serta rakyat yang prihatin dan cinta alam sekitar.

Katanya, keprihatinan dan nasihat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Majlis Pakatan Harapan (PH) Selangor turut dialu-alukan.

"Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Selangor kerana memutuskan untuk mewartakan semula HSKLU," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Elizabeth berkata, keputusan untuk menambah lagi 1,436 ekar (574.4 hektar) kepada inventori hutan simpan negeri Selangor dan memberi tanah kepada Orang Asli Busut Baru juga disambut baik.

"Keberanian dan kepimpinan ditunjukkan dalam semua keputusan hari ini oleh Amiruddin mesti dipuji.

"Hari ini menunjukkan bahawa untuk Malaysia maju ke depan demi kebaikan semua, demokrasi partisipatif dalam penglibatan dan proses membuat sesuatu keputusan demi rakyat harus digalakkan dan diwajibkan," katanya.

Beliau memberitahu, Selangor bernasib baik kerana terdapat proses pendengaran awam yang wajib untuk mana-mana hutan simpan yang bakal dinyahwartkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap peruntukan ini akan dimasukkan dalam Akta Perhutanan Negara 1984 untuk melindungi hutan simpan di negara ini yang semakin terjejas kerana kegiatan dan aktiviti ekonomi," katanya.