Benam Turki 6-1, isyarat awal Oranje

Aksi menarik pada pada perlawanan berkenaan. -Foto: AFP
Aksi menarik pada pada perlawanan berkenaan. -Foto: AFP
A
A
A

PENGENDALI Belanda, Louis Van Gaal menyifatkan kemenangan 6-1 ke atas Turki pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 pada Rabu, bagai memberikan isyarat awal untuk skuad kendaliannya itu mencatatkan kemenangan pada baki saingan Kumpulan G kali ini.

Menurutnya, biarpun kemenangan berkenaan masih belum dapat menjamin slot untuk skuad Oranje itu beraksi di Qatar kelak, namun ia diharap dapat menyemarakkan semangat pemain untuk mengharungi baki perlawanan berdepan Latvia pada 9 Oktober, Gibraltar (12 Oktober), Montenegro (14 November) dan Norway (17 November).

“Jika pasukan anda mencatatkan kemenangan 6-1, seharusnya anda layak mendapat penghargaan, pujian. Oleh itu, saya telah nyatakan kepada pemain.

“Saya juga katakan kepada mereka bahawa kumpulan ini adalah kumpulan yang hebat, dan kemenangan yang capai hari ini (Rabu) sememangnya sangat bermakna.

“Bagaimanapun, saya tegaskan kepada pemain bahawa mereka masih perlu memberikan yang terbaik selepas ini terutamanya meneruskan momentum kemenangan untuk kita mengesahkan slot ke Qatar nanti,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Davy Klaassen membuka jaringan buat Belanda seawal minit pertama diikuti jaringan hattrik Memphis Depay pada minit ke-16, min-38 (penalti) dan min-54, Guss Til (min-80) dan Donyell Malen (min-90).

Turkin yang beraksi dengan 10 pemain setelah Caglar Soyuncu dilayangkan kad merah pada minit ke-44 bagaimanapun memperolehi gol saguhati menerusi Cengiz Under pada masa kecederaan.

Kemenangan berkenaan menyaksikan skuad Oranje itu terus menerajui Kumpulan G, biarpun berkongsi 13 mata dengan Norway, namun dibezakan dengan jumlah jaringan, setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, perebutan untuk dua slot ke saingan Piala Dunia 2022 dilihat agak sengit bagi Kumpulan G dengan menyaksikan Belanda, Norway, Turki selain Motenegro yang mungkin boleh mencipta kejutan pada saat-saat akhir.

Sementara itu, Van Gaal berpuas hati dengan aksi dipamerkan skuad kendaliannya itu hingga berjaya mencatatkan kemenangan besar ke atas Turki.

Malah Van Gaal turut kagum dengan kesebelasan pemain yang dililhat mampu bertahan selain terus mengasak ke gawang lawan sehingga ke wisel penamat.

“Secara keseluruhannya, saya bangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh kesebelasan pemain pada perlawanan ini.

“Saya juga telah katakan kepada mereka, kita berada dalam kumpulan yang agak mencabar dan kita hanya mempunyai satu peluang untuk melepasi saingan di peringkat kumpulan ini iaitu dengan memberikan aksi yang terbaik,” katanya.