Parlimen jadi bahan jenaka jika Timbalan Speaker dari 'kluster mahkamah'

Abdul Aziz Bari
Abdul Aziz Bari
A
A
A

IPOH - Cadangan melantik Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat akan meninggalkan kesan kepada kemuliaan dan ketinggian Parlimen sebagai badan perundangan negara.

Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, melantik seseorang yang masih terpalit dengan 'kluster mahkamah' akan menjadikan Parlimen bahan jenaka di dalam dan luar negara.

"Ini kerana sosok berkenaan telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 pada 21 Januari 2020.

"Sepatutnya beliau perlu melalui proses undang-undang dan tidak diberikan kedudukan serta peranan yang sedemikian penting di Parlimen," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, masih ramai calon lain dalam Parlimen yang sesuai dilantik untuk jawatan berkenaan.

Abdul Aziz berkata, keghairahan UMNO memberi jawatan kepada kepimpinan parti itu akan membelakangkan kepentingan rakyat.

"Selain itu, ia akan mengabaikan teguran dan pesanan Raja-raja Melayu yang mahukan kerajaan baharu ini bersih daripada mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa.

"Ini menunjukkan bahawa pentadbiran yang diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak serius dan tidak komited kepada reformasi institusi yang dilaungkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, melihat kepada cadangan itu, reformasi yang dilaungkan hanyalah retorik politik dengan sekadar meneruskan budaya pimpinan kerajaan sebelumnya.

Media melaporkan kedudukan Speaker dipercayai tidak berubah dengan mengekalkan Datuk Azhar Azizan, manakala jawatan Timbalan Speaker akan diisi Ahmad berikutan perkara itu dipersetujui parti yang bergabung dalam Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).