X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Bekas tentera sudah 100 kali derma darah

Bekas tentera, Mohd Nasir Mustapha, 62, menunjukkan Sijil Penghargaan yang diterima kerana menderma pada kali ke-100 pada 19 Mei lalu. - Foto Sinar Harian
A
A

Bekas anggota tentera itu juga berhasrat terus berbakti selagi terdaya

TANAH MERAH - Seorang bekas tentera mencatat rekod peribadi dengan 100 kali menderma darah bermula kira-kira 35 tahun lalu.

Mohd Nasir Mustapha, 62, dari Batu 11 di sini malahan berhasrat terus berbakti kepada orang ramai yang memerlukan selagi kudratnya terdaya untuk menderma darah.

Kata warga emas itu, dia mula menderma darah pada tahun 1986 apabila seorang kawan mengadu isterinya yang sakit di hospital memerlukan darah.

Mohd Nasir menggantungkan Sijil Penghargaan yang diterima olehnya kerana jasa menderma darah. - Foto Sinar Harian
Mohd Nasir menggantungkan Sijil Penghargaan yang diterima olehnya kerana jasa menderma darah. - Foto Sinar Harian

“Saya tawarkan darah saya dan bermula daripada itu saya tidak pernah berhenti menderma darah setiap tiga bulan sekali.

“Menderma darah juga membuatkan badan saya berasa lebih sihat dan saya berhasrat meneruskannya selagi terdaya bagi membantu sesiapa sahaja yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Dia yang memiliki darah jenis O berkata, manfaat rawatan percuma di mana-mana hospital kerajaan diperolehnya kerana bakti itu selain diberikan sijil penghargaan termasuk daripada pihak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

“Setakat ini, sudah 100 kali saya menderma darah iaitu pada 19 Mei lalu dan akan derma kali ke-101 serta seterusnya pada tempoh akan datang.

“Saya lakukannya secara sukarela dan bukan disebabkan mengejar anugerah atau penghargaan daripada sesiapa tetapi lebih kepada tanggungjawab untuk membantu orang lain dalam kesakitan,” katanya.

Bapa kepada empat anak berusia 25 hingga 39 tahun itu turut berkongsi kisah lucunya seperti ‘melatah’ setiap kali mendengar iklan berkaitan kempen derma darah di televisyen atau radio.

Sijil Penghargaanyang membuktikan warga emas juga bekas tentera, Mohd Nasir menderma darah kali ke-100. - Foto Sinar Harian
Sijil Penghargaanyang membuktikan warga emas juga bekas tentera, Mohd Nasir menderma darah kali ke-100. - Foto Sinar Harian

“Dalam iklan itu kata, saya sudah menderma, anda bila lagi?

“Secara automatik saya akan jawab, saya sudah 100 kali derma, anda berapa kali?" katanya sambil ketawa.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!