Dua lelaki sekampung maut motosikal terbabas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki maut selepas motosikal jenis Yamaha 135LC yang dinaiki dipercayai terbabas lalu melanggar tembok konkrit yang berada di kiri jalan dalam terowong di Jalan Tun Razak menghala ke Persiaran KLCC di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, mangsa dikenali sebagai Annadwi Cassanova, 30, dan Umar Mohd Hajih, 23, masing-masing beralamat di Kampung Kurnia Jaya Batu 4 Jalan Apas, Tawau, Sabah.

“Kemalangan jam 7.42 pagi itu berlaku semasa kedua-dua mangsa dalam perjalanan balik ke rumah mereka di Maluri dan motosikal yang dipercayai ditunggang laju hilang kawalan lalu terbabas sendiri melanggar tembok konkrit yang berada di tepi kiri jalan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah di jalan dua lorong dalam terowong dengan selekoh tajam menghala ke Persiaran KLCC iaitu jalan menuruni bukit di laluan masuk ke arah terowong dari Jalan Tun Razak,” katanya.

Katanya mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Artikel Berkaitan: