Bukan cari salah siapa

Aksi Ziyad pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik minggu lalu. Gambar kecil: Mohd Sadek
Aksi Ziyad pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik minggu lalu. Gambar kecil: Mohd Sadek
A
A
A

SEMUA pihak berkepentingan harus menyambut baik penubuhan jawatankuasa siasatan dalaman bagi menyiasat punca sebenar pembatalan penyertaan dan kemenangan jaguh negara, Muhammad Ziyad Zolkefli pada Sukan Paralimpik Tokyo 2022.

Pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, penubuhan jawatankuasa itu mampu mencari mekanisme terbaik dalam merungkai kelemahan yang ada sehingga menyebabkan pingat emas dimenangi Ziyad ditarik balik.

Mohd Sadek memberitahu, penubuhan jawatankuasa berkenaan secara tidak langsung dapat memperkemas senarai semak (checklist) dan prosedur operasi standard (SOP) sebelum seseorang atlet itu bertanding dalam kejohanan antarabangsa.

“Jika penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk mencari kesalahan, ia telah dijawab oleh jurulatih Ziyad sendiri baru-baru ini. Saya hormati tindakan itu kerana beliau berani ambil tanggungjawab.

“Tetapi kita bukan nak cari salah siapa-siapa. Apa yang kita cari adalah kaedah terbaik untuk atlet atau pihak yang mengiringi atlet dalam kejohanan antarabangsa supaya mereka peka terhadap aspek teknikal.

“Dalam mana-mana kejohanan berprestasi tinggi, checklist dan SOP itu penting. Saya bercakap berdasarkan pengalaman saya sebagai pengerusi teknikal sebelum ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang berakhir Ahad lalu, Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 biarpun mencatatkan rekod baharu dunia dengan lontaran sejauh 17.94 meter (m).

Ziyad diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) susulan protes daripada kontinjen Ukraine yang mendakwa dia lewat melaporkan diri ke bilik menunggu sebelum pertandingan bermula.

Artikel Berkaitan:

Insiden malang itu mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat sukan tanah air sehingga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan penubuhan jawatankuasa berkenaan.

Malah, mantan Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong turut mengesyorkan jawatankuasa itu diwakili oleh individu yang arif selok belok perihal Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik.

Mengulas lanjut, Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam berkata, jawatankuasa berkenaan juga dapat memperincikan situasi yang berlaku ketika insiden menimpa Ziyad pada hari pertandingan.

“Sebenarnya ramai yang buat andaian. Isu pertama Ziyad lewat hadir, tetapi kita tak tahu berapa lama dia lewat. Perkara ini melibatkan perkara teknikal dan pernah berlaku sebelum ini.

“Disebabkan itu, pentingnya ada satu checklist untuk semua atlet mahupun pegawai pengiring agar mereka sentiasa peka dengan perkara-perkara melibatkan teknikal. Ini semua peraturan asas,” ujarnya.