Sultan Nazrin dukacita...

Sultan Nazrin (dua, kiri) berkenan bersalaman bersama orang ramai selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayat, Sentul, semalam. - Foto Bernama
Sultan Nazrin (dua, kiri) berkenan bersalaman bersama orang ramai selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayat, Sentul, semalam. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA KANGSAR - Timbalan Yang Dipertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan dukacita terhadap pemimpin yang merosakkan hubungan keharmonian kaum disebabkan persaingan politik.

Baginda bertitah, sebagai pemimpin, mereka tidak sepatutnya melakukan provokasi dan menyemarakkan permusuhan masyarakat berbilang agama di negara ini.

"Warga Malaysia, terutama yang diamanahkan dengan tanggungjawab sebagai pemimpin, hendaklah tidak menjadi dalang, melakukan provokasi yang boleh menyalakan puntung kebencian antara warga berbilang kaum dan api permusuhan antara warga berbilang agama di negara ini.

"Amatlah mendukacitakan, satu suasana harmoni yang begitu berharga, yang telah sekian lama merupakan budaya hidup yang diamalkan oleh majoriti rakyat di negara ini, kini mahu dimusnahkan, semata-mata disebabkan persaingan politik berpunca daripada sikap sebahagian pemimpin politik yang memilih bersifat riak dengan kemenangan, sementara sebahagian yang kalah bersifat berdendam.

"Sebaliknya pihak yang menang hendaklah mengamalkan budaya terpuji merendah diri, sementara yang tewas mengamalkan budaya menerima penentuan Ilahi secara terhormat," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian sempena Istiadat Konvensyen Universiti Sultan Azlan Shah (Usas) Kesebelas di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Baginda bertitah, suasana negara yang aman dan hubungan harmoni antara rakyat berbilang kaum serta agama merupakan faktor negara dapat dibangunkan secara produktif.

Menurut baginda, walaupun pemerintah Inggeris memisahkan kaum di negara ini melalui dasar pecah dan perintah sejak era pra merdeka, ia tidak menyemaikan semangat permusuhan antara kaum.

"Tiga kaum utama, meskipun tinggal dalam penempatan yang terpisah, namun tidak sama sekali membina dinding pemisahan daripada jalinan kemanusiaan dan hubungan keinsanan.
Artikel Berkaitan:


"Tidak wujud perasaan kebencian bersuhu tinggi, tidak ada rasa curiga yang ekstrem hingga merasakan nyawa terancam, tidak ada anggapan permusuhan yang keterlaluan, hingga ke tahap mahu berbunuh-bunuhan," titah baginda.

Sementara itu, baginda bertitah, pengalaman pahit yang berlaku di negara tertentu perlu dijadikan teladan.

Menurut baginda, terdapat negara yang menghadapi konflik sehingga musnah kerana perselisihan yang berpunca daripada perbezaan mazhab, berlainan agama, kelainan kaum, tuntutan autonomi wilayah dan berbunuhan kerana perbezaan ideologi politik.

Titah baginda, Malaysia memiliki semua komponen untuk dijadikan bahan mencetuskan konflik, namun pemimpin terdahulu memilih untuk tidak berkonflik.

"Para pemimpin yang mengasaskan negara merdeka ini, memilih untuk menerokai titik persamaan dan menyuburkan semangat bekerjasama.

"Kebijaksanaan para pengasas negara ini yang memiliki hikmah membangunkan sebuah negara yang rakyatnya berjaya disatukan, hendaklah terus kita pupuk, agar kita juga dapat mewariskan, sebuah negara yang aman, tenteram, harmoni lagi makmur kepada generasi akan datang," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin mengingatkan para graduan agar minda mereka tidak mudah diracuni untuk terlibat mencetuskan persengketaan.

Baginda berkata, warga berilmu yang arif perlu mengelakkan diri daripada diperalatkan untuk memenuhi nafsu orang-orang yang berfikiran cetek, juga orang-orang yang tidak berwawasan jauh.