Syarat lama kemasukan MRSM kekal legakan ibu bapa, murid

Pengekalan syarat lama bagi kemasukan ke MRSM serta pembatalan perubahan pada syarat berkenaan memberi kelegaan kepada ibu bapa dan murid-murid. Gambar hiasan
Pengekalan syarat lama bagi kemasukan ke MRSM serta pembatalan perubahan pada syarat berkenaan memberi kelegaan kepada ibu bapa dan murid-murid. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pengekalan syarat lama bagi kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta pembatalan perubahan pada syarat berkenaan memberi kelegaan kepada ibu bapa dan murid-murid.

Jawatankuasa Permuafakatan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Selangor dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu turut menyuntik kembali semangat ibu bapa dan murid-murid khususnya yang telah lama menanam impian melanjutkan pelajaran ke MRSM.

Menurut kenyataan itu, keputusan berwibawa Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk membuka kembali ruang buat semua pelajar tanpa mengira aliran termasuk mengekalkan kuota 10 peratus untuk bukan bumiputera membuktikan beliau cakna akan rakyat.

"Ini bersesuaian dengan semangat 'Keluarga Malaysia' yang digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Jawatankuasa ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan kepimpinan Majlis Amanah Raykat (Mara) yang telah mengambil keputusan bijak lagi prihatin bagi mengekalkan syarat asal layak memohon MRSM," kata kenyataan itu pada Isnin.

Pada Ahad, media melaporkan kerajaan bersetuju mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke MRSM tanpa mengambil kira aliran sekolah selari dengan konsep 'Keluarga Malaysia' yang diperkenalkan Perdana Menteri.

Mahdzir dilaporkan berkata, semua pelajar berhak mendapat peluang menyambung pelajaran di MRSM sekali gus cadangan perubahan dasar berkaitan perkara itu yang diumumkan sebelum ini tidak diguna pakai. - Bernama

Artikel Berkaitan: