Eksesais Mastex: Covid-19 tidak halang kerjasama TLDM, TLDA

Helikopter Super Lynx TLDM dan MH-60S milik TLDA beroperasi bersama di udara. - Foto Facebook TLDM
Helikopter Super Lynx TLDM dan MH-60S milik TLDA beroperasi bersama di udara. - Foto Facebook TLDM
A
A
A

LUMUT - Dalam kesibukan dunia menangani wabak Covid-19, eksesais Malaysia-Australia Sea Training Exercise (Mastex) yang dilaksanakan sejak 2002 antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Tentera Laut Diraja Australia (TLDA) tetap diadakan baru-baru ini.

Markas Pemerintahan Armada Barat dalam satu kenyataan memaklumkan, Mastex 2021 yang diadakan tiga hari bermula 2 September lepas itu membuktikan semangat kerjasama dan diplomasi pertahanan yang sedia utuh terjalin antara kedua-dua negara.

Menurut beliau, eksesais bilateral tahunan berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) itu bertujuan memperkukuhkan saling kendali serta kerjasama strategik pertahanan maritim melalui kaedah perkongsian idea dan kepakaran di lapangan.

“Mendepani pandemik, kedua-dua angkatan laut terus mempamerkan komitmen menerusi penglibatan tiga aset TLDM, iaitu Kapal Diraja (KD) Lekiu, KD Jebat dan helikopter Super Lynx. Turut serta menjayakan eksesais adalah dua pesawat F/A 18D dan dua pesawat Hawk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“TLDA pula melibatkan empat aset iaitu HMAS Canberra, HMAS Anzac serta helikopter CH47 dan MH-60S dari Australian Maritime Task Group,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan beberapa siri latihan telah direalisasikan meliputi peperangan antiserangan udara, antikapal selam, penembakan sasaran permukaan, manuvra taktikal dan pengoperasian bot.

“Kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut.

“Secara keseluruhan eksesais pada kali ini berjaya memenuhi matlamat dan objektif yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, TLDM akan terus komited memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut sahabat dalam memacu kesiapsiagaan anggota beruniform berkenaan untuk melindungi serta mempertahankan kepentingan maritim negara. -Bernama