Les Bleus kurang menyengat di Ukraine

Martial (kanan) diasak pemain Ukraine, Oleksandr Tymchyk dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Stadium Olimpik, Kiev. - Foto AFP
Martial (kanan) diasak pemain Ukraine, Oleksandr Tymchyk dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Stadium Olimpik, Kiev. - Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Perancis, Didier Deschamps mengakui perubahan taktikal gagal diterjemahkan dalam bentuk keputusan positif pemain Les Bleus apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Ukraine dalam aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia di Stadium Olimpik, Kiev.

Malah menurut Deschamps, perubahan taktikal tersebut terbukti gagal berfungsi sebaiknya terutama pada babak pertama menyebabkan juara bertahan itu ketinggalan pada penghujung babak pertama.

“Sejujurnya saya menggunakan pendekatan baharu dalam perlawanan menentang Ukraine berbanding ketika menentang Bosnia-Herzegovina sebelum ini.

“Namun taktikal tersebut gagal diterjemahkan pemain-pemain Perancis, sebaliknya Ukraine pula yang lebih menguasai rentak perlawanan dan mendahului perlawanan.

“Apapun apabila kami mengubah kembali kepada taktikal sebelum ini pada babak kedua, kami berjaya menyaingi tuan rumah seterusnya menjaringkan gol penyamaan,” katanya.

Pada aksi tersebut, Ukraine terlebih dulu mendahului menerusi Mykola Shaparenko pada minit ke-44, sebelum Anthony Martial menyelamatkan maruah Les Bleus dengan gol pada minit ke-50.

Keputusan seri tersebut menyaksikan Perancis terus kekal mendahului kumpulan dengan sembilan mata selepas mengharungi lima perlawanan sambil diekori rapat Finland dan Ukraine.

Artikel Berkaitan: