'Pekeliling khusus isu vaksin penjawat awam perlu dikeluarkan'

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) mencadangkan satu garis panduan mengenai isu pengambilan vaksin Covid-19 dalam kalangan pekerja termasuk penjawat awam dikeluarkan, bagi memastikan golongan tersebut tidak ditindas kerana menolak untuk divaksin.

Presidennya, Adnan Mat dalam kenyataan pada Sabtu berkata, garis panduan tersebut penting bagi mengelakkan majikan membuat keputusan berdasarkan pandangan mereka sendiri, sedangkan masih tiada undang-undang mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 setakat ini.

Beliau berkata, bagi perkhidmatan awam pula, kerajaan perlu mengeluarkan pekeliling khusus yang menyentuh dengan jelas tindakan dan pendekatan yang perlu dilakukan kepada penjawat awam dalam isu pengambilan vaksin Covid-19.

“Cuepacs percaya tidak semua mereka yang menolak vaksin Covid-19 adalah golongan anti vaksin, sebaliknya mereka ini mungkin masih belum yakin dengan keberkesanan vaksin itu dan dalam hal ini kerajaan perlu pergiatkan usaha memberi kesedaran untuk meningkatkan keyakinan rakyat bagi mengambil vaksin Covid-19.

“Tindakan terburu-buru ke atas kumpulan yang masih menolak vaksin hanya akan mendedahkan kerajaan kepada risiko tindakan undang-undang sekiranya garis panduan atau undang-undang jelas mengenai pengambilan vaksin belum dikuatkuasakan,” katanya.

Adnan berkata, Cuepacs berpendirian teguh bahawa semua penjawat awam sewajarnya mengambil suntikan vaksin Covid-19 bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam dapat berjalan seperti biasa kerana mereka semua adalah barisan hadapan yang akan menjadi pemudah cara kepada rakyat dan sektor ekonomi.

Katanya suntikan vaksin Covid-19 dapat mengelakkan seseorang yang dijangkiti virus itu menerima kesan lebih buruk selain mampu mengelakkan risiko kematian sekali gus mampu mewujudkan persekitaran tempat kerja selamat dan mengurangkan risiko jangkitan.

Adnan berkata Cuepacs juga menggesa kerajaan membentuk satu jawatankuasa khas bagi menilai dan mengkaji berkenaan undang-undang mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 di Malaysia, dalam usaha memastikan keberkesanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau berkata, jawatankuasa itu perlu meneliti syor dan cadangan daripada pelbagai pihak sebelum satu undang-undang boleh diwujudkan memandangkan masih belum ada negara di dunia yang mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri.

Dalam pada itu, Adnan berkata, kerajaan perlu memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap golongan anti vaksin yang menyebarkan propaganda tidak benar menerusi media sosial kerana golongan tersebut boleh menjadi barah dan menggagalkan usaha kerajaan untuk keluar daripada pandemik Covid-19.

Justeru, golongan anti vaksin ini perlu dipantau dan diambil tindakan tegas supaya tidak mencetuskan kebimbangan dan menyampaikan maklumat tidak tepat, katanya. - Bernama