Banjir: Lapan kampung terjejas di Penampang

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak lapan kampung dan lima jalan terjejas akibat banjir kilat di Penampang Jumaat malam disebabkan hujan lebat berterusan, menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah.

Sekretariat itu dalam kenyataan memaklumkan kampung yang terlibat ialah Kampung Dabak, Kampung Kambau, Kampung Tuavon, Kampung Dungkahang, Kampung Tanaki, Kampung Nampasan, Kampung Sugud dan Penampang Proper.

Menurut kenyataan itu, jalan yang terjejas ialah Jalan Datuk Panglima Banting, Jalan Kolopis, Jalan Penampang-Papar Lama Nambazan, Jalan Inobong dan Jalan Pekan Donggongon.

"Hujan lebat berterusan yang bermula pada jam 1 tengah hari Jumaat menyebabkan paras sungai di daerah itu antaranya Sungai Moyoq meningkat yang seterusnya menyebabkan banjir kilat berlaku.

"Sebuah pusat pemindahan banjir telah dibuka pada 7 malam Jumaat di Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang, setakat ini tiada lagi mangsa dipindahkan, pemantauan akan dilakukan semasa ke semasa berikutan cuaca tidak menentu pada masa ini," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan jumlah mangsa banjir di Sabah kekal 68 orang iaitu 53 mangsa daripada 17 keluarga di Beaufort, dan 15 mangsa daripada empat keluarga di Sipitang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, dua lokasi kejadian jalan runtuh dikesan di daerah iaitu di Kilometer 14 Jalan Keningau/Apin-Apin dan Kilometer 18 Jalan Keningau/Apin-Apin pada Jumaat.

"Kedua-dua lokasi runtuhan tidak boleh dilalui oleh sebarang kenderaan daripada kedua-dua arah Keningau dan Apin-Apin, usaha pembaikan sedang dilaksanakan dan orang ramai dinasihatkan berwaspada memandangkan cuaca hujan masa ini," katanya ketika dihubungi pemberita.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif untuk ke Pekan Keningau iaitu melalui Jalan Ranggom atau Kepayan menghala ke jalan Magatang.

Dalam pada itu, tular video kejadian sebuah kereta jenis Perodua Myvi gagal melintas jalan yang dilimpahi air sebelum dihanyutkan arus deras ke dalam sungai berhampiran di Jalan Kionsom Lama, Inanam di sini kira-kira 6 petang Jumaat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah mengesahkan kejadian tersebut dan kerja-kerja menyelamat oleh anggota bomba dari Balai Bomba Lintas masih dillakukan ketika berita ini ditulis

Difahamkan pasukan bomba menghadapi cabaran dalam operasi menyelamat itu berikutan arus deras di kawasan tersebut. - Bernama