Penghantar makanan didenda RM2,000 halang tugas polis

Seorang penghantar makanan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Jumaat atas kesalahan menghalang anggota polis menjalankan tugas, April lalu.
Seorang penghantar makanan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Jumaat atas kesalahan menghalang anggota polis menjalankan tugas, April lalu.
A
A
A

PETALING JAYA – Seorang penghantar makanan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas kesalahan menghalang anggota polis menjalankan tugas, April lalu.

K Harvinderjit Singh, 21, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa sengaja menghalang penjawat awam iaitu anggota polis, Koperal Mohd Yasir Mohd Yusof (pengadu) daripada menjalankan tugas.

Kesalahan dilakukan pada jam 4 pagi, 25 April lalu di Laluan Pusingan U, hadapan sebuah hotel di Puchong.

Atas pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ketika pengadu membuat rondaan, dia ternampak kereta yang dinaiki empat lelaki berada dalam keadaan mencurigakan.

Pengadu cuba menahan kereta tersebut namun keempat-empat pemuda itu sempat melarikan diri dengan membuat pusingan U dan memandu secara melawan arus.

Artikel Berkaitan:

Selepas berjaya memberhentikan kereta tersebut, pengadu cuba memeriksa kenderaan namun pemandu berkenaan cuba melanggar polis lain.

Selepas aksi kejar-mengejar berakhir, pengadu berjaya menahan tertuduh di Puchong dan berlaku pergelutan kerana tertuduh bertindak agresif selain cuba melarikan diri.

Ketika prosiding, peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana insaf dengan perbuatan yang dilakukan.

“Dia baru sahaja menerima tawaran bekerja sebagai penghantar makanan, namun jika hukuman berat dikenakan, ia akan menjejaskan masa depannya kelak,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Natasha Azmi mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

“Mahkamah perlu mengambil kira soal ketenteraman awam kerana tertuduh telah menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas, selain memandu secara merbahaya dan menyebabkan kerosakan harta benda,” katanya.