Maksud sebenar kebangkitan rakyat: Najib

Calon BN, Zakaria Hanafi diumumkan pemenang bagi PRK DUN Semenyih, malam ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Calon BN, Zakaria Hanafi diumumkan pemenang bagi PRK DUN Semenyih, malam ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kemenangan BN pada PRK DUN Semenyih sebagai maksud sebenar kebangkitan rakyat.

Beliau berkata, kini tiba masanya untuk rakyat menuntut segala kajian yang dijanjikan dan janji yang telah dibuat kepada rakyat, bermulalah dari PRU14 sehingga PRK kali ini oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan di bawah PH.

“Takkan tiba-tiba Semenyih dah tidak memerlukan klinik, tidak perlukan hospital dan tidak perlu jalan raya baik. Janji yang ditabur itu kita lihatlah sama ada benar-benar ikhlas atau sebenarnya janji bersyarat,” katanya menerusi kenyataan di dalam akaun Facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan PH mesti menunaikan segala janji yang ditaburkan kepada penduduk Semenyih walaupun tewas kepada BN.

"Di Semenyih, jentera Barisan Nasional bukan sahaja berdepan dengan Pakatan Harapan malah seluruh jentera dan sumber yang ada pada Kerajaan Persekutuan dan negeri," katanya.

Najib berkata, janji yang perlu ditunaikan kerajaan PH bukan sahaja sekadar dalam PRK DUN Semenyih tetapi termasuk janji semasa PRU14.

“Bermula dengan program penukaran minyak hitam percuma, kemudian janji-janji pembinaan klinik kesihatan dan hospital, dana penyelenggaraan dewan, pemberian hamper dan tawaran baik pulih rumah, pengawalan harga minyak dan baru-baru ini janji kajian pengambilalihan konsesi tol," katanya.

Katanya, rakyat tidak perlu memberi peluang kepada kerajaan PH yang sekadar bercakap kosong demi undi.

Artikel Berkaitan:

"Bandingkanlah dengan calon BN Zakaria Hanafi yang hanya bermodalkan keikhlasan senyuman, doa dan berjabat tangan untuk memenangi rakyat Semenyih," katanya.

Najib turut mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada jentera BN, parti-parti komponen, penyokong dan rakan-rakan dari Pas yang telah menyumbang tenaga di setiap pusat daerah mengundi (PDM).

Katanya, beliau yakin BN akan dapat menempuh segalanya dan bangkit demi rakyat.