Penghantar makanan akan didakwa lindungi pesalah trafik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penghantar makanan ditahan polis kerana disyaki melindungi pesalah trafik yang terlibat dalam kes kemalangan maut di Jalan Mahameru di sini pada bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, lelaki itu ditahan di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira jam 7.30 malam Selasa.

"Suspek telah dibawa ke Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini untuk dituduh di bawah Seksyen 212 Kanun Keseksaan.

"Ia merupakan kes pertama di Malaysia seseorang dituduh di bawah seksyen tersebut," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Sarifudin berkata, pihaknya memberi amaran kepada orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya membawa lari individu yang terlibat dengan kes kemalangan maut dengan tujuan untuk melindungi pesalah tersebut.

Pada 14 Ogos lalu, sebuah kereta jenis Proton Waja melanggar dua buah lori yang sedang berhenti di lorong kanan untuk kerja penurapan jalan di Jalan Mahameru.

Dalam kemalangan itu, seorang lelaki iaitu pekerja syarikat pembaikan jalan telah maut di tempat kejadian, manakala dua lagi pekerja syarikat sama cedera dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta berkenaan melanggar papan amaran yang diletakkan di belakang lori.

Artikel Berkaitan:

Kereta tersebut kemudian terbabas ke kawasan pembaikan jalan serta melanggar sebuah lori dan mesin 'stroller'.

Akibat pelanggaran itu, mesin tersebut telah terpelanting dan terkena tiga pekerja berkenaan.