Wanita diugut replika tangan kesan darah, mesej lucah

Kotak berisi replika tangan dan cecair berwarna merah yang diterima mangsa.
Kotak berisi replika tangan dan cecair berwarna merah yang diterima mangsa.
A
A
A

KLANG - [DIKEMASKINI] Seorang wanita menempuh detik menakutkan apabila menerima kotak berisi replika tangan dengan kesan darah dalam kejadian di Jalan Kampung Saing di sini pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie berkata, bimbang dengan ugutan berkenaan, mangsa yang berumur 29 tahun kemudiannya tampil membuat laporan polis kira-kira jam 7.30 petang.

"Siasatan awal dijalankan mendapati mangsa menerima bungkusan hitam yang turut disertakan nota berunsur ugutan seperti menyimbah asid terhadap mangsa dan rakan serta mahu membakar rumah ibu bapa mangsa.

"Selain itu terdapat juga objek berbentuk tangan di dalam kotak tersebut dengan cecair berwarna merah," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, mangsa yang bekerja sebagai seorang jurujual di kedai emas kemudiannya menerima mesej menerusi Whatsapp selepas kejadian tersebut.

"Mangsa juga menerima mesej berbaur lucah dan ugutan daripada satu nombor yang tidak dikenali," katanya.

Menurutnya, polis telah membuka kertas siasatan berkaitan kes ini.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan mangsa telah dipanggil untuk dirakam keterangan selain usaha mengesan pengirim bungkusan dan pemilik nombor telefon yang terlibat sedang giat dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat dibawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan," katanya.