Carian hakmilik tanah melalui aplikasi PahangGo: MB

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Rakyat Pahang boleh membuat carian hakmilik tanah melalui aplikasi PahangGo bermula pada Khamis.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkhidmatan itu boleh digunakan selepas Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang dengan kerjasama syarikat PahangGo Sdn Bhd membangunkan modul tempahan carian hakmilik tanah melalui aplikasi itu.

Menurutnya, sistem tersebut memudahkan orang ramai untuk membuat carian rasmi atau persendirian bagi hakmilik tanah secara dalam talian.

"Perkhidmatan ini masih terhad kepada pembelian carian rasmi atau persendirian melibatkan hakmilik PTG. Tetapi ia akan diperluaskan meliputi hakmilik pentadbir tanah daerah sebelum penghujung tahun ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, perkhidmatan tersebut bukan sahaja antara transformasi penyampaian perkhidmatan awam dalam pentadbiran tanah, malah merupakan pendekatan alternatif dalam menawarkan perkhidmatan tanpa pelanggan perlu hadir secara fizikal ke pejabat.

Katanya, ia antara usaha menyahut saranan kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19 terutama apabila semakin banyak sektor ekonomi dibuka kelak.

"Inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin ke arah mengembangkan ekonomi digital di Pahang, selain membantu mengurangkan kos perniagaan termasuk kos perjalanan untuk mendapatkan carian hakmilik tanah.

"Kadar bayaran masih sama sebagaimana diperuntukkan di bawah Kaedah–kaedah Tanah Pahang 1992 iaitu RM100 untuk carian rasmi dan RM50 bagi carian persendirian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Wan Rosdy berharap inisiatif ini menjadi pendorong kepada jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan lain untuk turut melaksanakan penambahbaikan kepada keseluruhan sistem penyampaian perkhidmatan awam.