Maut diserang ketika berbual

Mior Faridalthrash
Mior Faridalthrash
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki maut, manakala rakannya cedera parah akibat diserang dengan kayu dan topi keledar ketika sedang berbual di taman permainan Taman Makmur, Lunas, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian dari Hospital Kulim, dekat sini, kira-kira jam 7.49 malam.

Katanya, pihaknya menerima makluman berkaitan kejadian pergaduhan dan melibatkan dua lelaki, yang mana salah seorang mangsa tidak sedarkan diri.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang lelaki yang bekerja menjual besi buruk, P Manimaran, 38, ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah dengan kesan cedera tumpul di kepala.

“Melalui pemeriksaan, kita mendapati ada kesan luka di bahagian atas kepala sebelah kiri dan luka kecil di belakang tangan kiri pada tubuh badan mangsa," katanya.

Mior Faridalthrash berkata, seorang pengawal keselamatan yang merupakan rakannya, S Gopala Kirusnan, 39, pula cedera parah di kepala.

Katanya, pasukan forensik telah menemui kesan darah di beberapa tempat dan 'casing' bahagian belakang telefon di bangku taman permainan itu.

"Turut ditemui, sebatang kayu dan dua topi keledar dengan kesan darah, serta sepasang selipar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek dipercayai menyerang mangsa yang sedang berbual di taman permainan itu gunakan kayu beruti dan topi keledar.

Menurutnya, pihaknya dapati suspek menyerang mangsa disebabkan dendam lama sebelum melarikan diri dengan motosikal.

Mior Faridalthrash berkata, pihak polis sudah mengenal pasti suspek dan usaha memburu giat dijalankan.