X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Azalina cadang hantar notis usul RUU berkaitan recall election

Kenyataan akhbar oleh Azalina pada Rabu.
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said akan menghantar satu notis usul di Dewan Rakyat bagi tujuan memperkenalkan pilihan raya pecat atau recall election pada persidangan Parlimen September.

Azalina berkata, bersempena Hari Kemerdekaan ke-64, beliau berhasrat untuk menghantar suatu notis usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk Rang Undang-undang (RUU) Ahli yang Bukan Ahli Kerajaan.

“Usul RUU yang dicadangkan bertajuk Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 dan saya berharap usul ini menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan pilihan raya pecat atau recall election dalam sidang Parlimen September 2021 ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menjelaskan, beliau turut berhasrat mencadangkan penubuhan Kaukus Reformasi Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti antara ahli Parlimen yang berminat.

Antara lain tujuan penubuhan tersebut, jelas beliau untuk memperkasa institusi Parlimen Malaysia dan memartabatkan demokrasi berparlimen dalam negara.

Azalina memberitahu, ramai rakyat kini mempersoalkan erti sebenar undi yang diberikan mereka kepada wakil rakyat kerana ia seolah-olah boleh dipajak gadaikan selepas pilihan raya.

“Setelah 64 tahun kita meraikan kemerdekaan Malaysia, kini terdapat gejala berleluasa iaitu wakil rakyat membelakangi bukan sahaja parti politik yang memberikan watikah pencalonan kepada mereka, tetapi juga masyarakat akar umbi yang bersusah payah meraih undi dari pintu ke pintu.

“Lebih-lebih lagi rakyat yang telah membuang undi untuk wakil rakyat tersebut di atas kepercayaan mewakili mereka sebagai wakil parti politik dan manifesto yang dijanjikan,” ujarnya.

Jelas beliau, pemimpin generasi yang seangkatan dengannya perlu menerima kenyataan bahawa persaingan antara parti politik adalah sesuatu yang positif dan menguntungkan rakyat dengan syarat ia dilakukan berdasarkan kepada peraturan yang munasabah.

“Persaingan politik perlu dimurnikan bukan dihapuskan, ditekan, diisi dengan kebencian ataupun dihuru-harakan.

“Demi kemajuan negara, pemimpin politik generasi saya dan generasi lebih muda, mesti berani bermuafakat dan berpakat untuk menjadikan politik satu pilihan kerjaya yang profesional, yang dihormati dan disegani, bukan dikeji dan dicaci.

“Tanggapan rakyat terhadap ahli-ahli politik hari ini sangat memalukan dan secara peribadi, saya terkilan dengan keadaan ini,” jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!