Ziyad juara di hati rakyat Malaysia: PM

Ismail Sabri memuat naik gambar Ziyad di laman Twitternya.
Ismail Sabri memuat naik gambar Ziyad di laman Twitternya.
A
A
A

"KEPADA Ziyad, anda tetap juara di hati kami, memecahkan rekod dunia adalah perkara yang luar biasa! Saya dan Keluarga Malaysia sangat berbangga dengan anda!

"Sama-samalah kita berdoa agar kemenangan pingat emas kekal di tangan Malaysia #malaysiaboleh #letlogicprevail," itu luahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi akaun Twitternya kepada jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli yang disifatkan sebagai juara di hati rakyat Malaysia.

Pingat emas dimenangi atlet berusia 31 tahun itu dalam acara lontar peluru F20 dibatalkan kemenangan selepas diprotes kem Ukraine apabila mendakwa Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) lewat memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Ziyad sebelum itu yang tampil ke Paralimpik Tokyo 2020 berstatuskan juara bertahan di edisi Paralimpik Rio 2016 tampil aksi cukup bertenaga apabila memenangi pingat emas dengan lontaran 17.94 meter.

Untuk rekod, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum itu memaklumkan kontinjen negara telah mengemukakan bukti untuk membantah protes kem Ukraine yang menafikan pingat emas dimenangi Ziyad.

“Protes daripada Ukraine masih diterima. Counter protest daripada tiga negara, Malaysia, Ecuador dan Australia akan dibawa ke mesyuarat CDM esok pagi. Kita pertahankan!!. Mohon doa rakyat Malaysia.

“Protest submitted termasuk semua bukti CCTV di call room dan luar call room. Doakan,” katanya di laman Facebooknya pada malam ini.