Pesara komando bangga lahir 31 Ogos

Md Deka bertuah dilahirkan pada tarikh bersejarah, 31 Ogos 1957.
Md Deka bertuah dilahirkan pada tarikh bersejarah, 31 Ogos 1957.
A
A
A

PARIT - Digelar anak Merdeka sudah cukup membanggakan kepada seorang pesara komando yang bertuah dilahirkan pada tarikh bersejarah, 31 Ogos 1957.

Md Deka atau nama sebenarnya Nor Muhammad Ahmad, 64, berkata, berkongsi tarikh dengan sambutan Hari Kebangsaan sudah cukup memberi makna tersendiri buat dirinya yang telah berkhidmat selama 22 tahun dalam Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM).

"Kerana dilahirkan pada tarikh keramat saya dipanggil Md Deka oleh keluarga dan penduduk kampung di Teluk Bakong hinggakan tiada yang mengenali nama sebenar saya.

"Mengambil semangat patriotik, saya menyertai askar demi mempertahankan negara dari sebarang ancaman meskipun selepas pengisytiharan kemerdekaan," katanya.

Beliau ditemui pada sambutan Hari Kebangsaan 2021 peringkat daerah Perak Tengah yang disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed di Majlis Daerah Perak Tengah di sini pada Selasa.

Md Deka mengharapkan sambutan Hari Kebangsaan ke-64 kali ini lebih bermakna apabila negara sentiasa aman dari segi kestabilan politik dan bebas ancaman wabak Covid-19.

Khairul Shahril (kanan) melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan penghantar makanan ketika sambutan Hari Kebangsaan 2021 peringkat Perak Tengah.
Khairul Shahril (kanan) melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan penghantar makanan ketika sambutan Hari Kebangsaan 2021 peringkat Perak Tengah.

"Saya mengharapkan agar negara kekal aman selain bebas daripada pandemik yang melanda negara. Keamanan negara bukan mudah dicapai setelah wira-wira kita terdahulu berjuang mempertahankan kedaulatan negara.

Artikel Berkaitan:

"Tragedi serangan hendap pengganas komunis di Kroh pada tahun 1979 menyebabkan tiga rakan pasukan gugur sentiasa dalam ingatan kerana pasukan kami ditugaskan mengesan komunis hingga sempadan negara.

"Disebabkan itu, dua rakan lain telah cacat akibat terpijak jerangkap samar. Justeru itu, pentingnya kita kekalkan keamanan negara yang ada kini," katanya.

Sementara itu, Khairul Shahril berkata, meskipun sambutan diadakan dalam suasana sederhana disebabkan negara masih berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negara namun, ia cukup bermakna bagi menzahirkan perasaan cintakan tanah air.

"Kita berpeluang meraikan veteran-veteran daripada Polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Komando sebagai tanda terima kasih atas pengorbanan mereka dalam mencapai Kemerdekaan.

"Anak muda perlu menyedari Kemerdekaan ini perlu dihayati dan dijaga rapi kerana bukan mudah untuk diperoleh selain perlu dipertahankan," katanya.