X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Individu di sebalik ‘Mak Kata Jangan’

HARMANDAR
A
A

PEMILIK nama Harmandar Singh Naranjan Singh ialah merendah diri walaupun figura itu tidak asing lagi dalam dunia pengiklanan dan pemasaran, bukan hanya di dalam negara malah di persada antarabangsa.

Bertembung mata secara maya untuk ditemu bual baru-baru ini, beliau beberapa kali menutup wajahnya yang kemerahan menahan rasa malu tatkala dipuji tentang keupayaan dan kreativitinya dalam menghasilkan iklan komersial televisyen.

Dengan tutur bahasa sangat lembut, beliau yang membahasakan diri sebagai Ham ternyata mudah didekati biarpun dalam pertemuan pertama.

Berjaya menghasilkan lebih 400 iklan komersial televisyen, Ham merekodkan kejayaan yang amat membanggakan apabila menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah.

Ditanya apakah sumber inspirasinya dalam menghasilkan sesuatu iklan komersial, beliau berkata, ia ditanam dan diperluaskan oleh pengetahuan yang terperinci serta mendalam mengenai cabaran yang dikemukakan.

Pengiktirafan tertinggi yang pernah diterimanya adalah menjadi finalis Anugerah Cannes Lions dan Spikes Asia.

Cannes Lions antara anugerah paling didambakan untuk pemain industri komunikasi kreatif serta pemasaran.

Pengiktirafan itu meletakkan beliau sebaris dengan golongan profesional industri di peringkat dunia.

Pengalaman

Ham mendapat pendidikan awal di Dungun English School yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar sebelum meneruskan persekolahan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (I) Rawang.

Beliau kemudian menyambung pengajian di Vanto Academy dan selang beberapa tahun kemudian melanjutkan pengajian di University of East London dalam jurusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA). Sebelum berada di puncak kejayaan dan melakar nama di peringkat global, anak kelahiran Bukit Besi, Dungun, Terengganu itu tidak mudah patah semangat.

Terpaksa merangkak untuk memiliki kehidupan yang lebih baik, anak sulung daripada lima beradik itu pernah menjadi pemain gitar di pub sebelum bergelar Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Sledgehammer Communications (M) Sdn Bhd dan pada masa sama menjadi pengarah kreatif pengiklanan.

Ham juga pernah mengetuai kumpulan kreatif agensi ternama di London, New York, Tokyo dan Manila.

Kolumnis mingguan akhbar berbahasa Inggeris, The Star dan New Sunday Times selama 11 tahun itu kini menerajui majalah Marketing dan merupakan pensyarah sambilan di Taylor University Lakeside Campus selain menjadi Penasihat Kehormat Malaysian Digital Association (MDA).

Antirasuah

Beliau juga pernah menjadi individu pertama menerbitkan majalah industri pengiklanan secara bebas di rantau ini sejak 15 tahun lalu dan melebarkan empayar di Singapura dan Jakarta, Indonesia.

Pada tahun 2009, Ham mencipta dan menjadi penganjur Youth Engagement Summit yang diilhamkan daripada kemenangan Presiden Obama dengan tema ‘Perubahan’.

Persidangan bertaraf antarabangsa tersebut turut menampilkan Donald Trump; Pengasas Twitter, Biz Stone dan kakak kepada pemilik media sosial Facebook, Randi Zuckerberg.

Beliau turut berjaya menganjurkan acara industri seperti MC2 Awards, Persidangan Media Malaysia, Persidangan dan Anugerah CMO Malaysia, Terbaik Pemasaran Digital Global, APPIES Malaysia serta Anugerah Adrenalin.

Selain mengasaskan sekolah iklan sendiri menerusi kolaboratif bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk program Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Komunikasi Sosial, Ham turut aktif dalam bidang sukarelawan dan kemasyarakatan.

Keratan video kempen antirasuah Mak Kata Jangan yang kini secara keseluruhan mencapai lebih 1 juta tontonan di YouTube.
Keratan video kempen antirasuah Mak Kata Jangan yang kini secara keseluruhan mencapai lebih 1 juta tontonan di YouTube.

Pernah mengetuai misi media untuk MERCY Malaysia ke Nepal dan kem pelarian Syria di Lembah Beqaa, beliau kini aktif dalam Pasukan Rasuah Busters untuk memerangi gejala rasuah di Malaysia secara sukarela.

Ham memilih untuk terlibat dalam kerja sukarela bersama Pasukan Rasuah Busters bagi memastikan generasi Malaysia bebas daripada amalan jijik itu.

“Rasuah adalah racun yang menutup pintu untuk kami menghargai restu Tuhan,” katanya.

Pengalaman luas dan idea kreatif yang dimiliki dalam bidang pengiklanan digunakan sepenuhnya untuk membantu gerakan reformasi moral Rasuah Busters menyebarkan maklumat ke seluruh lapisan masyarakat menerusi kempen antirasuah ‘Mak Kata Jangan’.

Berbeza dengan karyawan kreatif lain, Ham menggunakan pendekatan rakyat Malaysia dalam video yang dihasilkannya. Malah, elemen ‘mak’ digunakan kerana setiap orang sangat menghormati ibu sebagai figura penting dalam hidup.

Lantaran itu, beliau menghasilkan video ‘Mak Kata Jangan’ dalam tiga versi iaitu bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Tamil.

Malah menariknya, setiap versi video itu dipersembahkan dengan idea yang berbeza agar lebih dekat dengan penonton setiap bangsa Malaysia.

Setakat ini, video ‘Mak Kata Jangan’ dalam tiga bahasa itu telah mendapat lebih 1 juta tontonan di saluran YouTube Rasuah Busters.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!