Ancaman serangan kedua dalam tempoh 24-36 jam

Orang ramai berhimpun di Tugu Peringatan Perang Kor Marin AS ketika menghadiri upacara memperingati 12 anggota tentera Amerika yang terkorban dalam serangan bom bunuh diri di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul. - Foto: AFP
Orang ramai berhimpun di Tugu Peringatan Perang Kor Marin AS ketika menghadiri upacara memperingati 12 anggota tentera Amerika yang terkorban dalam serangan bom bunuh diri di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul. - Foto: AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi amaran situasi menjelang tarikh akhir operasi pemindahan adalah ‘sangat berbahaya’ dan mungkin berdepan risiko serangan kedua dalam tempoh 24 hingga 36 jam.

“Saya telah mengarahkan komander tentera untuk mengutamakan langkah perlindungan dan memastikan mereka masih memegang kuasa untuk memberi arahan sewajarnya jika serangan seumpama itu berlaku,” tegasnya.

Sehingga Sabtu, Washington telah memindahkan kira-kira 113,500 orang sejak misi mencabar itu bermula pada 14 Ogos lalu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan AS, John Kirby berkata, serangan dron Reaper menggunakan misil Hellfire yang menyasarkan kedudukan Daesh-Khorasan sebagai tindak balas terhadap serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai berjaya membunuh anggota kumpulan berkenaan, namun ancaman militan tersebut masih tinggi.

Ketika ini, tentera AS berada di fasa terakhir untuk meninggalkan Kabul dan lebih 1,000 orang awam bakal dibawa keluar sebelum pengunduran terakhir pasukan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Perancis dan United Kingdom (UK) mahu menggesa PBB untuk mewujudkan ‘zon selamat’ bagi melindungi operasi kemanusiaan di ibu kota Afghanistan selepas misi pemindahan berakhir pada Selasa.

“Hal ini adalah sangat penting. Ia akan menjadi kerangka kerja agensi antarabangsa itu untuk bertindak dalam keadaan darurat,” lapor akhbar Journal du Dimanche pada Ahad memetik kenyataan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Menurutnya, zon selamat seumpama itu membolehkan komuniti antarabangsa kekal memberi tekanan kepada Taliban yang kini kembali berkuasa di Kabul.

Artikel Berkaitan:

Macron turut memaklumkan rundingan dengan Taliban telah bermula untuk melindungi warga tempatan yang berisiko selepas tarikh 31 Ogos.

“Ada kemungkinan pelanjutan tempoh operasi itu memandangkan hubungan baik berjaya dikekalkan dengan Taliban atas bantuan Qatar,” ujarnya sambil menambah Paris sudah memindahkan seramai 2,834 sejak 17 Ogos lalu.

Macron juga menjangkakan operasi pemindahan selepas tarikh akhir itu tamat dilakukan di lapangan terbang awam di Kabul atau negara jiran Afghanistan.

Ketika ini, pemimpin itu cuba meredakan kebimbangan segelintir pihak di Perancis tentang kemasukan kumpulan pelarian Afghanistan di negara itu.

“Peranan saya bukan mahu mencetuskan ketakutan, namun untuk mencari jalan penyelesaian. Saya akan menangani tekanan migrasi itu dengan dasar kemanusiaan di samping melindungi sempadan negara,” jelasnya.

Pada Isnin, lima negara anggota Majlis Keselamatan PBB (UNSC); Perancis, UK, Amerika Syarikat (AS), Rusia dan China akan mengadakan pertemuan untuk berbincang tentan situasi di Afghanistan.

Paris dan London akan mengambil peluang untuk mengemukakan draf resolusi yang bertujuan bagi menentukan kawalan Kabul berada di bawah PBB.

Difahamkan, Perancis menamatkan misi pemindahan tersebut pada Jumaat dan UK turut mengambil langkah sama sehari selepas itu. - Agensi