Kerajaan Sabah ucap takziah kepada keluarga Lajim

 Kerajaan Sabah ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin yang meninggal dunia akibat Covid-19 di pada Ahad.
Kerajaan Sabah ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin yang meninggal dunia akibat Covid-19 di pada Ahad.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin yang meninggal dunia akibat Covid-19 di sebuah hospital swasta, di sini pada Ahad.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Lajim seorang pemimpin yang berdedikasi dan juga kawan yang baik serta telah banyak menyumbang kepada negeri dan negara sepanjang karier politiknya.

“Bagi pihak keluarga saya dan kerajaan Sabah, saya mengucapkan takziah kepada Datin Seri Normila Siong (isteri Allahyarham) dan keluarga atas kehilangan Allahyarham Datuk Seri Lajim yang tersayang," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Lajim adalah seorang pemimpin yang sangat berjasa dan menyumbangkan masanya, selain sentiasa berkongsi nasihat baik kepada parti.

Lajim, 66, yang juga Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), meninggal dunia di Hospital Pakar KPJ, di sini pada jam 6.23 pagi Ahad.

Pada 24 Ogos lepas, Lajim ditidurkan untuk rawatan susulan jangkitan Covid-19.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam kenyataannya berkata, beliau kehilangan seorang sahabat karib dan ia juga merupakan kehilangan besar buat Sabah dan negara.

“Allahyarham pernah bersama dalam kepimpinan persatuan dan parti UMNO sebagai ahli majlis tertinggi, saya kehilangan seorang sahabat yang baik, saya bersama keluarga dan kepimpinan UMNO Sabah merakamkan ucapan takziah kepada isteri dan keluarga Allahyarham.

Artikel Berkaitan:

“Sesungguhnya Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat di negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Beaufort sepanjang khidmat beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias dan Ahli Parlimen Beaufort,” katanya.

Katanya, sumbangan Allahyarham dalam pembangunan di negeri ini juga tidak boleh dinafikan melalui beberapa jawatan yang pernah beliau sandang di peringkat negeri dan Persekutuan.

Allahyarham pernah berkhidmat untuk negeri Sabah sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Menteri Pertanian dan Perikanan dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Pada peringkat Persekutuan, beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dari Mac 2008 hingga April 2009 dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari April 2009 hingga Julai 2012. - Bernama