X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Pemain tenis perlu suntikan vaksinasi Covid-19

Andy Murray - Foto Skysports
A
A

BEKAS pemain nombor satu dunia, Andy Murray menggesa agar kesemua pemain tenis mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 sebelum menyertai mana-mana pertandingan.

Menurutnya, sebagai ahli sukan yang mempunyai ramai peminat di seluruh dunia, kesemua pemain tenis berkenaan perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi mendapatkan suntikan vaksinasi berkenaan.

“Sebagai ahli sukan, kita mempunyai tanggungjawab yang besar. Kita sering bergerak ke seluruh dunia untuk menyertai pertandingan dan sudah pasti akan berjumpa dengan ramai orang.

“Oleh itu, kita turut bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan diri sendiri serta orang lain di sekeliling kita.

“Itulah sebabnya kenapa kita semua perlu melengkapkan suntikan vaksinasi ini. Saya sendiri telah melengkapkan suntikan vaksinasi ini dan berharap lebih ramai pemain dapat melakukan perkara yang sama dalam masa terdekat ini,” katanya.

Terdahulu, isu suntikan vaksinasi Covid-19 agak hangat diperkatakan dalam kalangan pemain tenis dunia di mana beberapa pemain menyuarakan pandangan berbeza.

Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic serta pemain nombor tiga dunia, Stefanos Tsitsipas berharap agar suntikan vaksinasi Covid-19 tidak diwajibkan kepada mana-mana pemain untuk beraksi dalam mana-mana kejohanan manakala pemenang 20 kali gelaran Grand Slam, Roger Federer dan Rafael Nadal pula menggesa agar suntikan vaksinasi Covid-19 diwajibkan.

Sementara itu, Murray yakin ramai dalam kalangan pemain tenis dunia yang masih belum menerima suntikan lengkap vaksinasi Covid-19.

Justeru katanya, perkara itu perlu dipantau bagi memastikan kesemua pemain berkenaan menerima suntikan lengkap vaksinasi Covid-19 menjelang beberapa kejohanan besar yang bakal berlangsung kelak.

“Saya juga yakin isu akan melibatkan perbincangan panjang dalam usaha meneruskan kejohanan-kejohanan berkenaan namun yang pasti kesemua pemain tenis perlu menerima suntikan vaksin berkenaan,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!