Pengembara masuk dari PMA Johor perlu kemuka permohonan kuarantin

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengembara yang masuk ke Malaysia melalui Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Johor perlu mengemukakan permohonan menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum ketibaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengembara juga perlu menjalani saringan ujian pengesanan jangkitan Covid-19 menggunakan ujian RT-PCR Covid-19 selewat- lewatnya tiga hari sebelum berlepas.

Beliau berkata, penilaian risiko terhadap pengembara dibuat berdasarkan kepada permohonan untuk kuarantin wajib di rumah, dan premis itu boleh dijadikan sebagai tempat kuarantin sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan.

"Antara syarat adalah pengembara warganegara tempatan dan asing mempunyai rumah atau tempat kediaman di Malaysia, negatif ujian RT-PCR, lengkap vaksinasi, dan rumah atau tempat kediaman adalah bersesuaian.

“Individu menerima vaksin Pfizer, AstraZeneca, Sinovac, Moderna dan Sinopharm mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua, manakala penerima vaksin satu dos seperti Johnson & Johnson dan CanSino mestilah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

“Pengembara warganegara dan asing yang tidak memenuhi syarat serta kelayakan perlu menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin yang diwartakan kerajaan dengan biaya ditanggung sendiri,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 pada Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, semua pengembara perlu menjalani penilaian kesihatan dan ujian RT-PCR Covid-19 sekali lagi semasa ketibaan di PMA.

Pengembara yang bergejala ringan dikehendaki menjalani ujian RTK-Antigen atau RT-PCR dan mereka dibenarkan untuk kuarantin di rumah, namun tindakan selanjutnya bergantung kepada keputusan ujian.

Artikel Berkaitan:

“Bagi pengembara yang mengalami gejala sederhana atau teruk akan dirujuk kepada pakar perubatan penyakit berjangkit dan tindakan selanjutnya berdasarkan penilaian kesihatan dan keputusan pakar.

“Tempoh kuarantin wajib bagi pengembara dari semua negara adalah 14 hari, namun ia akan dilanjutkan tujuh hari lagi sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil penilaian risiko mereka dan kuarantin tambahan dilaksanakan di kediaman, rumah, atau stesen kuarantin yang sama,” katanya. - Bernama