Pasukan 'rebutan' Liga Premier

Perak FC dan Sri Pahang antara kelab yang berada dalam saingan pentas Liga Super musim ini. - Foto Sri Pahang FC
Perak FC dan Sri Pahang antara kelab yang berada dalam saingan pentas Liga Super musim ini. - Foto Sri Pahang FC
A
A
A

SAINGAN Liga Super untuk tahun 2021 hampir menuju ke penghujungnya dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang sudah pasti dinobatkan sebagai juara buat kali kelapan berturut-turut musim ini.

Namun, apa yang lebih mencuri tumpuan di penghujung saingan Liga Super ini adalah mengenai pasukan mana yang akan tersingkir ke Liga Premier musim depan.

Tambah menarik, apabila beberapa pasukan yang dahulunya gergasi Liga Malaysia seperti Perak FC di kedudukan ke-11 dan Sri Pahang FC (10) selain tidak ketinggalan Melaka United (9) yang kini terancam 'jatuh pangkat' ke Liga Premier.

Selain tiga pasukan itu, Sabah yang berada di kedudukan ketujuh, PJ City (8) dan pasukan di tangga tercorot liga iaitu UiTM FC juga sedang bergelut untuk cuba mengekalkan tempat dalam saingan Liga Super musim depan.

Berdasarkan pengiraan, UiTM FC kemungkinan besar hampir pasti tersingkir dan persoalan paling utama adalah siapa yang akan mengiringi pasukan universiti itu ke saingan Liga Perdana.

Sekiranya Perak atau Sri Pahang jatuh ke Liga Premier, maka ia akan menjadi satu kejutan buat Liga-M apatah lagi Perak akan turun ke Liga Premier buat kali pertama dalam sejarah bola sepak mereka.

Dengan aksi liga yang kurang daripada empat perlawanan, semua pasukan perlu untuk mencari mata maksimum dalam semua baki perlawanan yang dihadapi mereka untuk cuba menyelamatkan diri.

Rata-rata pasukan yang berisiko untuk jatuh ke Liga Premier masih melaungkan keyakinan dan kesungguhan mereka untuk terus memberikan yang terbaik sehingga ke perlawanan terakhir untuk memastikan mereka terus kekal dalam saingan Liga Super.

Artikel Berkaitan:

Bagi pemangku jurulatih The Bos Gaurus, Mohd Shahril Nizam Khalil, Perak akan terus berjuang walaupun mengakui agak sukar untuk terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

"Dalam keadaan sekarang ini, kalau ikut peluang memang agak sukar (untuk kekal di Liga Super). Namun, saya percaya pemain akan terus mencuba untuk terus bersaing dalam baki perlawanan ini.

"Kami akan berjuang sehingga ke akhirnya," katanya.

Dalam pada itu, pengendali PJ City FC, P Maniam sudah mempunyai taktikalnya tersendiri dengan menyasarkan pertemuan menentang UiTM dan Penang FC bagi pasukannya mendapatkan mata penuh sekali gus mencerahkan peluang kekal di Liga Super.

"Saya tidak boleh kata PJ City masih selamat musim ini kerana dalam bola sepak apa pun boleh berlaku. Kita kena ambil mata yang mustahak ketika menentang UiTM dan Penang FC.

"Sekurang-kurangnya kami perlu mendapat maksimum tiga mata daripada tiga perlawanan terakhir kami," katanya.