Ekspresi semangat patriotisme menerusi seni lukisan di wajah

Qaseh Humaira Mohd Harmizi, 15, yang disolek dengan tema Jalur Gemilang oleh ibunya, Faridatul Aswani.
Qaseh Humaira Mohd Harmizi, 15, yang disolek dengan tema Jalur Gemilang oleh ibunya, Faridatul Aswani.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua tahun berturut-turut tiada tempahan solekan bertemakan kemerdekaan bukan halangan buat seorang jurusolek kekal bersemangat mengekspresikan patriotisme menerusi seni lukisan di wajah.

Pemilik butik, Faridatul Aswani Mohd Zidan, 39, malah berkongsikan pelbagai hasil tangannya di media sosial untuk mengajak orang ramai terus meraikan sambutan kemerdekaan ke-64 dalam norma yang baharu.

Menurutnya, biarpun tidak dapat berkumpul seperti sebelum ini, sambutan Hari Kebangsaan tetap dapat diekspresikan dalam pelbagai cara antaranya solekan.

“Kebiasaannya tidak menang tangan menerima tempahan untuk solekan dan penggayaan busana yang bertemakan kemerdekaan, namun dua tahun ini sangat sunyi daripada semua itu.

“Jadi, saya meluahkan rasa patriotik itu dengan berkongsi pelbagai solekan bertemakan kemerdekaan pada wajah saya, suami atau anak-anak sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di butik pengantin miliknya di Jalan Bayam, di sini, pada Khamis.

Faridatul Aswani (kanan) dan suami, Mohd Harmizi Mahmood, 44, sedang menyolek anaknya, Qaseh Humaira Mohd Harmizi, 15.
Faridatul Aswani (kanan) dan suami, Mohd Harmizi Mahmood, 44, sedang menyolek anaknya, Qaseh Humaira Mohd Harmizi, 15.

Ujar ibu empat anak itu, pelbagai gaya solekan boleh ditampilkan sempena kemerdekaan antaranya solekan Jalur Gemilang, bunga kebangsaan atau penghasilan lukisan wajah pemimpin yang prosesnya mengambil masa antara dua hingga tiga jam.

“Menghasilkan solekan merdeka penting dalam memastikan pilihan warna yang tepat seperti Jalur Gemilang iaitu, merah, putih biru dan kuning.

Artikel Berkaitan:

“Warna-warna itu akan dimainkan atau disesuaikan dengan pengadunan gincu, pembayang mata, pemerah pipi dan celak,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Tadbir Perkeranian dan Operasi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian bertuah apabila suaminya, Mohd Harmizi Mahmood, 44, turut berkongsi minat yang sama.

“Sekarang, pendapatan terjejas bukan sahaja ketika sambutan kemerdekaan, malah majlis keraian lain juga tidak ada tempahan.

“Hanya tempahan baju pengantin dan solekan pengantin, manakala pelamin pun berkurangan, harap negara cepat pulih supaya keadaan kembali meriah semula,” katanya.