X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

MKT UMNO bermesyuarat malam ini, disertai Ismail Sabri

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas dua kali ditangguhkan, Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dijadual berlangsung malam ini di ibu pejabat parti di Menara Dato Onn di sini.

Ini merupakan kali pertama mesyuarat MKT berlangsung selepas Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9, pada 21 Ogos lepas.

Bahkan, ini juga kali pertama sidang MKT berlangsung dengan Perdana Menteri datang dari kalangan pimpinan kanan parti UMNO, tetapi bukan sebagai Presiden parti tersebut.

Difahamkan, mesyuarat khas ini sepatutnya berlangsung pada Sabtu lepas, namun ditangguh sebanyak dua kali, sebelum tarikh dimuktamadkan hari ini.

Awal hari ini, Perdana Menteri telah mengumumkan senarai Ahli Jemaah Menteri bersama timbalan masing-masing.

Selain Ismail Sabri, seorang lagi Naib Presiden UMNO kembali ke dalam barisan Kabinet, iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Dalam pada itu, portfolio Kementerian Pertahanan kini kembali semula kepada Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein biarpun beliau bukan lagi sebahagian daripada pimpinan pusat parti tersebut.

Turut menjadi tumpuan ialah pelantikan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan, satu lagi portfolio yang dianggap kanan oleh pemerhati politik.

Beberapa veteran UMNO juga dilantik ke dalam kabinet iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Tan Sri Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi).

Sementara Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad yang juga Ketua Wanita UMNO, diserap semula ke dalam Kabinet selepas meletak jawatan sebagai menteri sewaktu di era Muhyiddin.

Perubahan landskap politik berlaku selepas kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa melepaskan Putrajaya selepas 15 Ahli Parlimen UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.

Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Ismail Sabri selepas mendapati Ahli Parlimen Bera itu mempunyai sokongan yang mencukupi oleh majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat. - Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!