Pemuda UMNO terus desak tuntutan rakyat dilaksana

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO tidak akan berdiam diri dan terus mendesak pimpinan kerajaan supaya tuntutan rakyat dapat dilaksanakan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya akan terus membuat tindakan susulan bagi mengikuti perkembangan dan ‘follow-through’ dengan Perdana Menteri dan kabinet baru itu sehingga semua tuntutan dipenuhi.

“Yang paling mendesak ketika ini ialah (penerima) Bantuan Khas Covid-19 (BKC) yang ramai mesej kepada saya secara peribadi menggambarkan keadaan mereka yang amat susah dan terdesak ketika ini,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Pada 13 Julai, Pemuda UMNO bertemu Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi menjelaskan 10 tuntutan rakyat sepanjang pandemik Covid-19.

Tuntutan rakyat itu melibatkan bantuan tambahan tunai, bantuan bakul makanan, moratorium, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan diskaun bil-bil utiliti.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, #TuntutanRAKYAT merupakan rumusan berasaskan maklum balas rakyat yang disampaikan kepada pihaknya.

“Sejak dari awal pelbagai pendekatan dilakukan termasuklah saya sendiri telah kemukakan dan perjelaskan hampir sejam setengah kepada Menteri Kewangan waktu kerajaan lama Perikatan Nasional (PN) setiap persatu #TuntutanRAKYAT, bahkan hampir setiap hari ‘follow up’ melalui aplikasi WhatsApp.

“Ada yang tuduh kononnya saya dan Pemuda UMNO sudah senyap dan membisu mengenai #TuntutanRAKYAT.

Artikel Berkaitan:

“Beberapa kali telah dinyatakan, kami tidak akan sesekali berdiam diri dan akan berterusan mendesak walaupun Perdana Menteri hari ini (adalah) UMNO,” ujarnya.