60 cedera letupan di depot senjata di Kazakhstan

Sebuah depot senjata meletup dan terbakar di daerah Bayzakov, wilayah Jambyl pada Khamis. - Foto Agensi Anadolu/Getty Images
Sebuah depot senjata meletup dan terbakar di daerah Bayzakov, wilayah Jambyl pada Khamis. - Foto Agensi Anadolu/Getty Images
A
A
A

NUR-SULTAN - Sekurang-kurangnya 60 orang cedera dalam letupan di sebuah depot senjata Di daerah Bayzakov, Kazakhstan pada Khamis sehingga menyebabkan pihak berkuasa memindahkan penduduk di empat buah kampung yang berhampiran.

Kerajaan tempatan dalam satu kenyataan berkata, letupan itu berlaku di depot senjata Kementerian Pertahanan di wilayah selatan negara itu, Jambyl.

Kerajaan Jambyl menyatakan 60 orang termasuk 11 anggota tentera dimasukkan ke sebuah hospital di bandar Taraz kerana mengalami kecederaan.

Penduduk di empat buah kampung termasuk sebuah kampung yang terletak kurang satu kilometer dari lokasi letupan turut terlibat dalam proses pemindahan itu, kata kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini letupan tersebut tidak melibatkan sebarang kematian.

Menurut Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan pula, kebakaran yang berlaku di salah satu depot di Jambyl telah menyebabkan berlakunya satu letupan.

Kementerian itu juga menyatakan jabatan bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran tersebut dan sebuah suruhanjaya ditubuhkan bagi menentukan punca kejadian.

Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev berkata menerusi Twitter, bahawa askar-askar dan pekerja-pekerja perkhidmatan kecemasan cedera dalam kejadian tersebut. - Agensi

Artikel Berkaitan: