TH saran pendeposit 18 tahun ke atas tukar ke akaun dewasa

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) menyarankan pendeposit khususnya yang melebihi umur 18 tahun tetapi masih memegang Akaun Kanak-kanak di bawah jagaan, supaya bertukar status kepada Akaun Dewasa.

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad berkata, hampir 700,000 pemegang Akaun Kanak-kanak melebihi umur 18 tahun dikenal pasti dan pemegang akaun itu yang telah menukar status akan mentadbir akaun masing-masing bermula 1 Disember tahun ini.

“Akaun itu akan dibekukan daripada melakukan sebarang transaksi pengeluaran, selain status link akaun antara akaun penjaga di bank dan akaun kanak-kanak di TH akan terbatal serta pendaftaran haji juga tidak dapat dilakukan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau berkata, akaun berkenaan masih boleh menerima transaksi simpanan daripada semua saluran yang disediakan TH termasuk di platform JomPay dan THiJARI.

TH menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa dan penjaga yang mempunyai akaun jagaan bagi anak yang berumur 18 tahun ke atas supaya datang bersama anak tersebut ke cawangan TH bagi menukar status ke Akaun Dewasa agar tidak timbul kesulitan pada masa akan datang.

TH mengambil langkah itu bagi memastikan semua akaun pendeposit yang mencapai 18 tahun diuruskan oleh pendeposit sendiri dan rekod maklumat serta biometrik pendeposit itu dikemas kini.

Selain itu, pendeposit perlu memastikan akaun TH berstatus aktif untuk terus menikmati manfaat seperti simpanan dijamin kerajaan, menerima agihan keuntungan, zakat ditunaikan, patuh syariah, dikecualikan cukai pendapatan dan boleh turut serta dalam pelbagai kempen yang dijalankan TH.

Menurut kenyataan itu, pendeposit hanya perlu melakukan satu transaksi simpanan atau pengeluaran bagi memastikan akaun kekal berstatus aktif.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai boleh merujuk laman web rasmi TH di www.tabunghaji.gov.my atau talian khidmat pelanggan (THCC) di 03-6207 1919 untuk pertanyaan lanjut. - Bernama