MDEC lancar geran teknologi global pupuk Juara Global

No Image Caption
A
A
A

PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah melancarkan Geran Teknologi Global (GTG) yang menyediakan pembiayaan sehingga RM2 juta kepada syarikat teknologi dan pemacu teknologi untuk mengembangkan kehadiran pasaran global mereka.

Agensi itu berkata, inisiatif itu bermatlamat untuk memupuk juara global, mendorong pelaburan dan pemangkin ekosistem inovasi digital menerusi pembangunan dan pengkomersialan produk serta perkhidmatan dipacu-pasaran.

"Objektif GTG adalah untuk menyokong peningkatan syarikat teknologi ke dalam arena global dengan cara memperkasa inovasi, pembangunan dan pengkomersialan inovasi produk dan perkhidmatan.

"Ia terbuka kepada syarikat teknologi tempatan dan pemilikan asing yang ditubuhkan di Malaysia," kata MDEC dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bagi syarikat tempatan melayakkan diri memohon GTG, syarikat mesti beroperasi sekurang-kurangnya setahun, memiliki modal terbitan dan berbayar minimum sebanyak RM20,000; dan minimum 51 peratus ekuiti dipegang oleh rakyat Malaysia. Bagi syarikat yang kepentingannya dipegang oleh syarikat lain, peraturan sama tetap terpakai.

Kelayakan untuk syarikat milikan asing pula adalah syarikat mestilah ditubuhkan di Malaysia di bawah Akta Syarikat dengan modal terbitan dan berbayar minimum sebanyak RM500,000 selain mesti beroperasi sekurang-kurangnya setahun.

MDEC seterusnya menjelaskan geran berkenaan menawarkan dua jenis insentif iaitu Jenis 1, menjurus kepada syarikat teknologi dan Jenis 2, untuk pemacu teknologi.

Geran Jenis 1 membiayai sehingga 50 peratus daripada keseluruhan kos projek atau sehingga RM2 juta, yang mana terendah, untuk syarikat milik tempatan sementara bagi syarikat milikan asing, geran berkenaan membiayai sehingga 30 peratus daripada keseluruhan kos projek atau sehingga RM2 juta.

Artikel Berkaitan:

Di bawah Jenis 2, GTG menyasarkan syarikat teknologi asing untuk membuka pusat kecemerlangan bagi menjalankan inovasi teknologi bernilai tinggi dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menerajui pembangunan dan pengkomersialan produk dan perkhidmatan dipacu-pasaran untuk pasaran global, selain menyumbang kepada pembangunan ekosistem.

Jenis 2 pula membiayai sehingga 30 peratus daripada keseluruhan kos projek, yang mana terendah, katanya.

Naib Presiden Teknologi Ekosistem dan Globalisasi Gopi Ganesalingam berkata dalam usaha untuk bersaing dalam pasaran global yang semakin berkembang, syarikat teknologi Malaysia perlu memiliki inovasi, idea dan produk yang relevan di peringkat global.

"Satu cara untuk melakukannya adalah mewujudkan ekosistem yang menyokong R&D dan inovasi. Malaysia memiliki persekitaran R&D yang rancak – kita berada di kedudukan kelapan untuk Negara Paling Berinovasi dalam kalangan Ekonomi Asia bagi Indeks Inovasi Global 2020 oleh Pertubuhan Hartanah Intelek Dunia (WIPO).

“Oleh itu, amat penting untuk kita terus mengekalkan kerancakan ekosistem ini.

"Inisiatif GTG Ini akan memberi impak berkesinambungan iaitu membawa kepada peningkatan pendapatan eksport, meningkatkan kemahiran pengasas dan bakat tempatan, dan melonjakkan pelaburan digital yang menyumbang kepada matlamat yang telah ditetapkan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan visi Malaysia untuk menjadi Nadi Digital ASEAN,” katanya.

GTG ini dibuka untuk permohonan pada 27 Ogos 2021, bermula dengan sesi penerangan maya. Tarikh tutup permohonan adalah pada 15 September 2021, dengan penilaian dan kelulusan akan selesai pada Oktober.

Fasa pelaksanaan projek dijangka bermula pada November dan Disember. -Bernama