X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Rakyat mahukan kerajaan tulus, bermoral dan integriti

Ismail Sabri perlu memastikan kesemua parti berpuas hati dengan jemaah kabinetnya. (Gambar kecil: Sharifah Shahirah)
A
A

SHAH ALAM- Kerajaan diingatkan agar tidak terlalu defensif dalam menghadapi krisis ketika ini, sebaliknya perlu telus mendukung urus tadbir yang baik dengan ketulusan, efektif dan responsif terhadap rakyat.

Penganalisis politik, Dr Sharifah Shahirah Syed Sheikh berkata, rakyat inginkan ketulusan, dengan melihat sebuah kerajaan yang bermoral dan berintegriti tinggi.

“Masih ada pemimpin-pemimpin yang mempunyai imej yang kurang baik pada persepsi rakyat. Walaupun mereka belum didapati bersalah dalam perundangan dan di mahkamah namun, pada persepsi rakyat, nampak yang pemimpin itu kurang mendapat kepercayaan.

“Jadi, perlulah hormat sistem perundangan dan pastikan mereka benar-benar diadili dengan adil dan tidak ada ‘magik’ di sana sini kerana rakyat sekarang ni semuanya bijak disebabkan oleh dasar pendidikan negara dan informasi kini di hujung jari.

“Oleh itu, rakyat dapat berfikir dengan baik dan inilah masanya untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membersihkan imej UMNO dan semua parti-parti lain,” katanya dalam Wacana Sinar Harian yang bertajuk Keluarga Malaysia Penawar Luka Rakyat pada malam Selasa.

Wacana itu dikendalikan moderator, Ismail Adnan dan turut menampilkan panel yang terdiri daripada Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin; Ketua Pemuda DAP, Howard Lee dan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi.

Selain itu katanya, kerajaan perlu responsif khususnya melibatkan kepentingan rakyat.

“Kalau boleh, data-data berkaitan Covid-19 misalnya, perlulah benar-benar tepat. Libatkan sama pakar-pakar dalam perubatan, pakar-pakar penyelidikan, kemudian kumpulkan mereka untuk dapatkan pandangan dan resolusi untuk dilihat dan diteliti dengan serius oleh kerajaan.

“Begitu juga dengan suara anak muda, apabila berlakunya demonstrasi menunjukkan bahawa anak muda merasakan tidak ada ruang untuk mereka meluahkan pendapat. Saya harap ia satu yang ‘genuine’ daripada suara anak muda dan bukanlah ada orang yang anjurkan.

“Tapi, kalau demonstrasi yang terjadi perlulah diambil suara mereka, kepentingan-kepentingan mereka dan jangan defensif, jangan dihukum golongan muda yang ingin ketengahkan kepentingan mereka serta suara mereka,” ujarnya.

Apa yang paling penting katanya, rakyat mahukan kerajaan yang efektif, yang dapat menjamin kestabilan dan masa depan yang cerah.

Pada masa ini katanya, rakyat perlukan jaminan daripada kerajaan dalam mendepani krisis semasa kerana mereka tidak boleh ‘lari’ ke tempat lain untuk berlindung.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!