Saya boleh pecah rekod Asia jika tak batal: Nur Syaiful

Muhammad Nur Syaiful ketika beraksi pada acara lelaki 200m gaya bebas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo hari ini. - Foto Bernama
Muhammad Nur Syaiful ketika beraksi pada acara lelaki 200m gaya bebas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PERENANG para kebangsaan, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli berpotensi memecah rekod Asia baharu sekiranya penyertaannya dalam acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) tidak dibatalkan pada Sukan Paralimpik Tokyo pada Rabu.

Nur Syaiful yang membuat penampilan sulung dalam temasya berprestij itu, menamatkan perlumbaan di tangga kelima daripada enam pelumba dalam saringan pertama dengan catatan masa 2 minit 56.78 saat (s) sebelum mendapat khabar buruk oleh pengadil, berhubung pembatalan aksinya.

Rekod Asia 2:58.11s dipegang perenang Thailand Phuchit Aingchaiyaphum, yang dicatatkannya dalam satu kejohanan di Melbourne, Australia tahun lepas.

Atlet Sarawak yang memiliki catatan peribadi 2:59.01 saat dilakukan di London, United Kingdom pada 2019 itu berkata, nasib sememangnya tidak menyebelahinya selepas mendedahkan terpaksa menampal plaster di bahagian bahu kirinya, ekoran kecederaan dialaminya sejak Sabtu lepas.

Mengulas lanjut, perenang berusia 26 tahun itu mengakui kekurangan pengalaman menyebabkannya tidak menyedari, perlu membuat pengesahan sebelum pertandingan bagi memastikan beliau dibenarkan bertanding sekiranya terdapat isu teknikal seperti berlaku kepadanya.

“Sebelum ini, saya diberitahu pihak doktor bahawa situasi saya adalah 50-50 dan saya mempunyai pilihan untuk membuka plaster atau sebaliknya.

“Bagi hari ini pula, pegawai yang menyemak peralatan seperti ‘goggle’, jaket dan seluar, sebelum saya turun ke kolam juga membenarkan saya untuk beraksi, namun dikejutkan dengan keputusan pengadil yang membatalkan penyertaan selepas mereka memberitahu penggunaan plaster adalah dilarang sama sekali,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, beliau yang tidak berjaya dalam percubaannya untuk membantah keputusan berkenaan selepas aksinya akan membuat pengesahan statusnya termasuk menunjukkan surat dari doktor perubatan pada pagi Khamis sebelum dijadual bertanding bagi acara 100m gaya bebas lelaki S5.

Artikel Berkaitan:

Walaupun dilanda kesakitan, Nur Syaiful yang mengalami kecacatan kedua-dua kakinya selepas terlibat dalam kemalangan pada usia 17 tahun memaklumkan semangatnya tetap membara menuju ke garisan penamat dan bertekad akan bangkit daripada kekecewaan pada aksi seterusnya pada Khamis.

“Saya tahan sakit kerana saya bergantung kepada pergerakan bahu untuk berenang di kolam. Insya-ALLAH saya akan buat yang terbaik esok,” tambahnya yang telah menerima rawatan perubatan sejak Isnin lalu.

Saringan pertama itu menyaksikan perenang Sepanyol Antoni Ponce Bertran mengungguli saingan di tempat pertama dengan catatan 2:33.73s.

Lapan perenang terbaik daripada dua saringan yang dipertandingkan akan layak ke peringkat akhir, dijadual berlangsung kira-kira jam 7.52 petang ini (6.52 petang waktu Malaysia). - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Nur Syaiful tersingkir acara renang 200 meter