Harap ada ahli Parlimen Negeri Sembilan dilantik menteri

Mustafa (depan, dua dari kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil ATM di Surau Kampung Dusun Nyior, Seremban pada Rabu.
Mustafa (depan, dua dari kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil ATM di Surau Kampung Dusun Nyior, Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - UMNO Negeri Sembilan berharap ada ahli Parlimen UMNO dari negeri itu yang akan dilantik sebagai menteri dalam kabinet baharu yang akan diumumkan minggu ini.

Setiausaha UMNO Negeri Sembilan, Mustafa Salim berkata, pihaknya bagaimanapun tidak mendesak dan percaya kebijaksanaan Perdana Menteri untuk melantik barisan menteri yang terbaik.

"Seperti mana sebelum ini kita memang berharap ada dalam kalangan ahli Parlimen UMNO di Negeri Sembilan yang akan dilantik mewakili suara rakyat di negeri ini di kabinet," katanya ketika ditemui selepas majlis Santai Pagi dan Kibarkan Jalur Gemilang Bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Surau Kampung Dusun Nyior, di sini pada Rabu.

Untuk rekod, tiga kerusi Parlimen di Negeri Sembilan milik UMNO iaitu Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias dan Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif.

Selain itu katanya, cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki supaya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilantik sebagai Menteri Kewangan wajar dipertimbangkan.

Ujarnya, pengalaman bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dalam bidang korporat dan pentadbiran tidak boleh dipertikaikan.

"Sudah tentu pengalaman yang beliau ada sangat membantu. Beliau juga seorang pemimpin yang biasa bergelumang dengan rakyat dan memahami denyut nadi mereka," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan barisan menteri kabinet kerajaan baharu minggu ini.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, beliau akan mempersembah senarai menteri kabinet itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapat perkenan selepas senarai siap.