Rokok seludup lebih RM6 juta dirampas

Kastam mematahkan sindiket penyeludupan rokok putih menerusi rampasan melibatkan sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 29 Julai lalu.
Kastam mematahkan sindiket penyeludupan rokok putih menerusi rampasan melibatkan sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 29 Julai lalu.
A
A
A

KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia mematahkan sindiket penyeludupan rokok putih menerusi rampasan melibatkan sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 29 Julai lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Tengah Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan melibatkan dianggarkan lebih RM6 juta termasuk cukai.

"Menerusi operasi dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit III (LTA Kuala Lumpur) berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok putih itu dengan penahanan sebuah kontena bersaiz 12.2 meter di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

Antara rokok seludup yang dirampas pada 29 Julai lalu.
Antara rokok seludup yang dirampas pada 29 Julai lalu.

"Semakan mendapati kontena tersebut telah diikrar sebagai ‘Garments’ bagi mengelakkan dikesan oleh Kastam," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, jumlah anggaran sebanyak sembilan juta batang rokok bernilai RM900,000 membabitkan anggaran cukai sebanyak RM 6,030,000.

"Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976," katanya.

Menurutnya, orang ramai digesa membantu pihak Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri," katanya.